Siakap Keli

Tak Sengaja Jadikan Wakanda Rakan Dagang, AS Terus Buang Negara Fiksyen Dari Senarai

Black Panther menjadi filem keluaran Marvel yang sangat terkenal pada 2018. Bagi yang menonton filem ini, anda pasti tahu bahawa negara yang wujud di dalam filem ini dipanggil sebagai Wakanda.

Namun, entah bagaimana Jabatan Agrikultur Amerika Syarikat  boleh menjadikan negara fiksyen itu sebagai rakan perdagangan bebas mereka.

Jurucakap jabatan itu berkata bahawa ‘Kerajaan Wakanda’ telah dimasukkan ke dalam senarai secara tidak sengaja semasa ujian kakitangan.

Penjejak tarif dalam talian jabatan itu menyusun senarai terperinci barangan yang kedua-dua negara itu dagangkan termasuk itik, keldai dan lembu tenusu.

Penyenaraian yang ‘luar biasa’ itu dikesan seorang jurutera perisian di New York, Francis Tseng yang mencari tarif pertanian untuk persekutuan yang dipohonnya.

Jurucakap Jabatan Agrikultur juga berkata senarai Wakanda telah ditambah sebagai fail ujian untuk kakitangan, dan tidak sepatutnya dipertontonkan kepada umum.

“Saya sangat keliru pada awalnya. Saya awalnya terlupa tentang negara itu dalam filem dan memikirkan sesuatu yang lain,” ujar Francis.

Pun begitu, negara tersebut telah dibuang daripada senarai dan jurutera tersebut sempat memuat turun senarai Excel kod tarif bagi perincian barang dagangan antara Wakanda dan Amerika Syarikat.

Francis dalam masa yang sama turut berjenaka melalui Twitter miliknya,

 

“Pihak USDA sudah membuang Wakanda dari senarai. Agaknya kita dalam perang dagang dengan mereka juga!”

Wakanda pertama kali muncul dalam komik Fantastic Four pada tahun 1966 dan membuat kemunculan kembali ketika Black Panther disesuaikan menjadi sebuah filem pemenang oscars tahun lali.

Sumber: BBC

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra