Siakap Keli

(Video) Polis Buat Kejutan, Bagi Duit Raya Untuk Pemandu Ditahan Ketika Sekatan Jalan

Setiap kali musim perayaan, sudah pasti bilangan operasi keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak berkuasa ditingkatkan bagi memastikan kelancaran trafik dan tiada pengguna jalan yang membuat onar sehingga memberi masalah kepada orang lain seperti kemalangan maut.

Malah, mana-mana pengguna juga takut sekiranya ditahan kerana kemungkinan untuk disaman itu ada sekiranya melakukan kesalahan ketika memandu.

Namun begitu di California, Amerika Syarikat sempena sambutan Hari Natal yang lepas, pasukan polisĀ  Jabatan Sherif Madera County telah melakukan kejutan ketika melakukan sekatan jalan raya di sana.

Berbanding mengeluarkan saman bagi pemandu-pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas, pasukan Sherif ini sebaliknya memberi duit raya bernilai USD 100 kepada pemandu-pemandu ini sebagai ganti surat saman.

Menurut media tempatan, pasukan Sherif itu bertindak sedemikian sebenarnya bertujuan untuk mengagihkan sumbangan sebanyak USD 5,000 yang diserahkan oleh seorang ahli perniagaan tempatan kepada pasukan berkenaan.

Dalam operasi yang diberi nama ‘Act of Kindness’ itu, mereka berjaya ‘menahan’ seramai 50 orang pemandu untuk diagihkan sumbangan tersebut.

Pemandu-pemandu yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya cukai jalan tamat tempoh nyata terkejut dengan tindakan itu namun gembira kerana tidak disaman, malah menerima wang tunai.

Bagi pihak pasukan Sherif, selain dapat mengagihkan sumbangan, ia juga membuka jalan untuk mereka berinteraksi secara positif dengan penduduk tempatan.

Sumber: Yahoo News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.