15 kanak-kanak termasuk seorang bayi terkorban dalam tragedi nahas udara di Iran yang membunuh warga Iran (82), Kanada (63), Ukraine (11), Sweden (10), Afghanistan (4), Jerman (3) dan British (3).
Pesawat PS752 dilaporkan terhempas hanya beberapa minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, Tehran, Iran pada awal pagi semalam.
Tragedi yang berlaku ketika krisis ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) itu menimbulkan pelbagai spekulasi yang mendakwa ia mungkin menjadi mangsa konflik berkenaan.

Timbulkan pelbagai spekulasi
Beberapa jam sebelum nahas berlaku, angkatan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas pangkalan AS di Iraq.
Serangan ini merupakan tindakbalas atas pembunuhan komander IRGC, Qassem Soleimani pada Jumaat lalu oleh Donald Trump.
Pihak berkuasa Iran mendakwa enjin pesawat terbakar dan hilang kawalan, namun dakwaan itu menimbulkan syak wasangka terutamanya apabila Iran menolak untuk menyerahkan kotak hitam pesawat kepada pengeluar, Boeing dan AS.
Video menunjukkan pesawat tersebut terbakar sebelum terhempas serta gambar di lokasi nahas menunjukkan beberapa lubang misteri pada badan pesawat.

Pesawat boeing itu berusia kurang empat tahun dan baru sahaja diperiksa dua hari sebelumnya oleh kru terbaik kami, kata jurucakap syarikat penerbangan Ukraine.
Pengeluar enjin jet Perancis CFM berkata spekulasi kegagalan enjin adalah pramatang.
Sementara itu, kedutaan Ukraine di Iran pada awalnya mendakwa ia berpunca dari serangan misil, namun menarik balik kenyataan mereka.
Tragedi seakan MH17
Pakar penerbangan masih mencari penerangan untuk menjelaskan tragedi berkenaan, sebahagian mendakwa ia tidak ditembak manakala sebahagian lagi mengaitkan kebarangkalian punca nahas itu dengan tragedi MH17.
Operational Safety Section (OPS), kumpulan yang meneliti risiko penerbangan berkata, tragedi itu mungkin disebabkan tembakan.
“Kami akan mengesyorkan andaian permulaan adalah bahawa ini merupakan peristiwa penembakan, serupa dengan MH17 – sehingga ada bukti jelas sebaliknya.”
Mereka menyertakan gambar tapak nahas di mana terdapat beberapa lubang pada fuselage dan sayap pesawat.
Pakar Penerbangan, Julian Bray melalui Sun Online berkata,
“Malapetaka ini bukan jenis kemalangan yang berpunca dari kegagalan enjin. Tiada apa-apa yang boleh dilakukan sesiapa.”
“Ia sungguh luar biasa, anda akan jangkakan bangkai pesawat, tapi semua yang kita dapat lihat di sini adalah serpihan.”


Walaubagaimanapun, dia menambah ia mungkin terlalu awal untuk merungkaikan secara pasti apakah punca sebenar nahas itu.
Menurut data yang dijejak oleh FlightRadar24, pesawat itu mencecah altitud 7,925 kaki sebelum tiba-tiba hilang dari radar selepas tiga minit.
Menurut Daily Mail, pesawat milik syarikat penerbangan Ukraine itu dilaporkan ditangguhkan penerbangan selama hampir satu jam sebelum berlepas dari lapangan terbang Iran.
“Ia salah satu pesawat terbaik dengan kru terbaik kami,” kata Presiden Syarikat Ukraine International Airlines (UIA), Yevgeniy Dykhne.
Berikutan tragedi semalam (8 Jan), penerbangan dari Iran ke Ukraine bertarikh 9 dan 10 Januari dibatalkan.


Nahas semalam merupakan kemalangan menyebabkan kematian pertama melibatkan pesawat Kiev.
“Kami sedia memberi kerjasama,” kata wakil syarikat itu dalam satu kenyataan.
Hanya beberapa jam sebelum nahas, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS menyekat semua penerbangan milik AS dari terbang di ruang udara Iran dan Iraq serta perairan Teluk Parsi disebabkan krisis Timur Tengah itu.
Sumber: Daily Mail, The Sun, FlightRadar24