Siakap Keli
Gambar: Muslimah Clothing / sayangislam.com

Mufti WP Jelaskan Hukum Wanita Pakai Seluar Jeans

Seluar jeans sering dijadikan sebagai pilihan bagi seseorang untuk dipakai keluar daripada rumah. Tidak kira lelaki ataupun wanita, seluar jeans sememangnya terkenal terutamanya dalam golongan remaja.

Pun begitu, timbul persoalan mengenai hukum memakai seluar jeans dalam kalangan wanita yang dikatakan boleh melenyapkan amalan di dunia. Ekoran persoalan berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah berkongsikan jawapan bagi menjawab tanda tanya tersebut.

Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan. Adakah haram bagi seorang wanita memakai seluar jeans atau mana-mana jenis seluar yang lain?

Gambar: sayangislam.com

Untuk menjawab persoalan ini, adalah lebih baik kita melihat asal-usul dan sejarah ringkas berkenaan isu ini. Melihat kepada ringkasan fakta sejarah terdahulu, seluar panjang merupakan pakaian yang dipakai oleh para pendekar wanita ketika bertempur pada zaman kekuasaan Greek. Sebuah artifak yang dijumpai dan dipercayai dibina pada tahun 470 sebelum masihi ditemui dengan telakarnya gambar pendekar wanita yang lengkap dengan busana perang dan berseluar panjang. Bahkan, terdapat 2 helai seluar yang dijumpai tertanam bersama di dalam perkuburan penungang kuda daripada kalangan lelaki dan wanita di Tarim Basin, China yang dipercayai ditanam semenjak tahun 1200 sehingga 900 sebelum masihi[1].

Jika diperhatikan, seluar telah lama wujud menerusi fakta-fakta yang telah dinyatakan. Pada waktu yang sama di zaman Nabi SAW, seluar juga merupakan perkara yang dibincangkan sepertimana yang ternukil di dalam kitab-kitab fiqh. Seperti contoh sebagaimana sebuah hadis, Nabi SAW pernah terlibat dalam urusan jual beli seluar bersama seorang sahabat:-

وَعَنْ مَالِكِ بْنِ عُمَيْرٍ  قَالَ: بِعْتُ من رَسُولِ اللَّهِ رِجْلَ سَرَاوِيلَ قَبْلَ الْهِجْرَةِ فَوَزَنَ لِي فَأَرْجَحَ لِي

Maksudnya: Hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Umair menyatakan bahawa:- “Aku membeli daripada Rasulullah SAW seluar sebelum hijrah, maka ditimbangkan dan diberikan kepadaku.

(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah)

Begitu juga, hadis berkenaan sahabat ketika menunaikan haji / umrah:-

مَنْ لَمْ يَجِدْ إِزَارًا فَلْيَلْبَسْ سَرَاوِيلَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak ada sarung, hendaklah memakai seluar panjang.”

(Hadis Sahih Bukhari, No. 5804)

Gambar: Muslimah Clothing

Bagi seluar jeans pula, sejarah utama penghasilan seluar panjang yang menggunakan jeans adalah khusus untuk digunakan kepada pekerja lombong emas dalam melakukan kerja-kerja berat. Ketika banyak lombong-lombong emas dibuka di California, Amerika Syarikat, fenomena tersebut telah menarik ramai pemuda untuk mencari emas. Namun begitu, mereka mempunyai masalah kerana seluar yang selalu digunakan sering kali terkoyak kerana kerja berat. Atas masalah itu, seluar jeans telah diciptakan oleh Levi Strauss dan Jacob Davis pada tahun 1873. Kain jeans adalah kain yang tebal dan amat sesuai untuk digunakan untuk membuat pakaian bagi kegunaan kerja-kerja berat dan lasak. Sehinggakan lama-kelamaan, seluar jeans telah menjadi tersohor dan diterima pakai oleh masyarakat sama ada lelaki mahupun wanita[2].

Adakah Seluar Jeans haram bagi wanita?

Seluar jeans tidak haram dan harus untuk dipakai. Tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya ia tidak mengikut piawaan dan batasan yang telah ditentukan syara’ bagi lelaki dan wanita. Seperti contoh bagi lelaki dan wanita, haram memakai seluar jeans yang koyak di peha, betis atau dibahagian yang perlu bagi seorang muslim itu untuk menutup bagi menjaga auratnya.

Begitu juga, agensi fatwa Mesir, Dar al-Ifta’ Misriyah al-Fatawa menyatakan bahawa hukum wanita memakai seluar:-

جواز لُبْسه للمرأة، بشرط أن تتحقق فيه شروط الستر المطلوبة شرعًا

Maksudnya: Harus bagi wanita untuk memakai seluar, dengan syarat ia menutup aurat sepertimana yang dituntut oleh syara’.

 

Kedua, tidaklah memakai seluar jeans tersebut seperti “berpakaian tetapi bertelanjang”. Sabda Nabi SAW, terdapat dua kategori penghuni neraka yang belum pernah Nabi SAW melihatnya. Diantaranya adalah:-

وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (mereka memakai pakaian tetapi tidak menutup keseluruhan aurat), yang menarik perhatian orang untuk melakukan maksiat di samping dia sendiri melakukan maksiat.

Islam mengharamkan wanita memakai pakaian ketat yang boleh menampakkan bentuk badan atau pakaian yang nipis yang boleh menampakkan apa yang ada di sebalik pakaian itu, khususnya pada tempat-tempat sulit yang boleh menimbulkan fitnah diri kepada lelaki yang bukan mahram.

Ketiga, mengikut kaedah usul fiqh:-

اذا زال المانع عاد الممنوع

Maksudnya: Apabila sesuatu larangan hilang perkara yang dilarang padanya, maka ia kembali harus

Harus memakai pakaian yang berasal daripada orang bukan Islam yang tidak lagi menjadi sesuatu yang khusus bagi mereka setelah berlalunya suatu jangka masa yang tertentu disebabkan halangan telah tiada. Walaubagaimanapun, amalan yang terangkum di bawah kaedah ini hanyalah amalan-amalan yang berbentuk adat sahaja, manakala amalan ibadah keagamaan sentiasa bersifat khusus kepada penganut agama tertentu dalam apa bentuk sekalipun adalah haram bagi umat Islam memakainya. Maka atas sebab tersebut, adalah diharuskan bagi seseorang untuk memakai seluar jeans kerana seluar jeans tidak lagi menjadi syiar atau tasyabuh kepada pakaian orang kafir. Jika dilihat pada hari ini, seluar jeans merupakan seluar yang dipakai oleh masyarakat diseluruh dunia termasuk negara-negara Islam sama ada lelaki atau wanita.

Kesimpulan bagi kajian ini, kami berpendapat bahawa harus bagi seorang wanita memakai seluar jeans sepertimana yang telah dinyatakan. Namun begitu, pemakaian seluar tersebut haruslah terhindar daripada fitnah. Begitu juga tidak menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan seperti bahagian punggung yang mengundang perhatian hawa nafsu kepada mereka yang melihat.

Begitu juga, kami menasihatkan agar mengenakan baju atau jubah yang labuh dan longgar serta mampu menutupi sehingga ke paras lutut bagi menjaga kemaslahatan pada pemakai dan pada mereka yang melihatnya.

Disini kami lampirkan beberapa pautan artikel yang berkenaan bagi menambahkan lagi informasi dan maklumat dalam kefahaman kepada isu ini:-

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1915-irsyad-fatwa-ke-73-hukum-perempuan-berpakaian-menampakkan-bentuk-tubuh-dan-hukum-bagi-orang-yang-sengaja-melihat-aurat-orang-lain

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1208-irsyad-al-fatwa-ke-140-hukum-memakai-pakaian-wanita-mengikut-fesyen-moden

WalahuA’lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.