Siakap Keli

Virus Misteri Dipercayai Dari China Mampu Bawa Wabak SARS Sudah Dikesan Di Thailand

Satu virus baru yang terdiri daripada kumpulan virus sama yang mencetuskan Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) telah tersebar di luar sempadan China untuk pertama kalinya dengan satu kes muncul di Thailand.

Seorang doktor Thailand telah mendiagnos seorang pelancong dari China denga pneumonia ringan pada 8 Januari lalu, sebelum ia disahkan berpunca daripada koronavirus baharu yag menyebabkan 41 kes seperti pneumonia dan satu kematian di China.

Ada kaitan dengan SARS

Wabak itu sangat membimbangkan kerana ia berkaitan dengan SARS yang telah membunuh 349 mangsa di China dan 299 lagi di Hong Kong antara tahun 2002 dan 2003.

Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan wabak dari bandar Wuhan itu berpunca daripada koronavirus yang tidak dapat dikenal pasti sebelum ini. Sebahagian besar dari kumpulan besar virus yang boleh menyebabkan selesema hinggalah penyakit serius seperti SARS.

“Ujian makmal mengesahkan koronavirus baharu itu adalah puncanya,” kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic kepada AFP menerusi e-mel, merujuk pada kes di Thailand.

WHO juga akan mengadakan pertemuan tergempar berhubung penemuan virus baharu itu.

Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata kepada pemberita di Bangkok hari ini, wanita China berusia 61 tahun dari Wuhan itu dijangkiti virus dari luar Thailand. Pihak berkuasa China memaklumkan mangsa semakin pulih.

Pihak berkuasa di Wuhan turut memaklumkan, pasar makanan laut di bandar itu dikesan  sebagai pusat wabak berkenaan dan mulai ditutup pada 1 Januari yang lalu.

Buat masa sekarang ini, penyebaran manusia ke manusia belum dikesan.

WHO juga menyifatkan penyebaran virus itu adalah sesuatu yang tidak mengejutkan.

“Kemungkinan untuk kes seumpamanya di kesan di luar China adalah dijangka, dan selaras dengan permintaan WHO sebelum ini yang menggesa pemantauan aktif dan persediaan di negara lain,” kata WHO dalam satu kenyataan.

Kini, pihak berkuasa Thailand dalam keadaan berjaga-jaga, dan pegawai lapangan terbang memeriksa semua penumpang yang tiba dari Wuhan.

Pegawai dari Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam memberitahu AFP wanita dijangkiti yang datang dari Wuhan itu, ditahan sebaik tiba selepas pegawai di lapangan terbang mendapati mangsa mengalami demam.

Sumber : sciencealert

 

Nurul Alia Ali

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)