Seorang warga emas berusia 72 dilaporkan telah meninggal dunia berpunca daripada penyakit jantung koronari dan tekanan darah tinggi.
Lelaki berkenaan yang tinggal di Wenzhou, Zheijiang, China yang mempunyai masalah sembelit dilaporkan cuba membuang air besar. Menurut laporan Oriental Daily, tiada pergerakan yang dikesan di dalam perut lelaki berkenaan dalam tempoh tiga hari.
Tindakan nekadnya untuk membuang air besar secara paksa membawa padah apabila dikatakan pengsan ketika proses berkenaan. Keluarganya yang tersedar dengan kejadian tersebut telah menghantar lelaki berkenaan ke hospital namun tidak berjaya diselamatkan.
Menurut doktor, kematiannya adalah berpunca daripada penurunan kadar jantung ketika dia cuba meneran semasa membuang air besar. Tenaga yang digunakan olehnya telah melebihi kemampuan diri dan jantungnya menyebabkan berlakunya komplikasi jantung.
Doktor juga menjelaskan bahawa tekanan yang digunakan ketika membuang air boleh menganggu saraf sehingga menjejaskan kadar jantung dan tekanan darah. Perkara ini boleh menyebabkan pesakit mengalami serangan jantung sehingga boleh membawa maut.
Sumber: Oriental Daily