Siakap Keli
Kredit: Google

Koronavirus: Kemampuan Virus Untuk Merebak Dipercayai Bertambah Kuat- Menteri China

Beijing, 26 Jan – Kemampuan koronavirus untuk merebak menjadi semakin kuat, kata Menteri Suruhanjaya Kesihatan Negara China, Ma Xiaowei dalam satu sidang media hari ini.

Virus yang telah membunuh 56 orang itu dijangka terus menjangkiti lebih ramai mangsa dengan jumlah terkini mencapai hampir 2000 orang di seluruh dunia.

Pengetahuan pihak berkuasa mengenai virus baru itu terhad dan kerajaan masih tidak pasti risiko dari mutasi virus berkenaan, katanya.

Presiden China, Xi Jinping menyatakan negara itu menghadapi situasi genting di mana kerajaan sedang bekerja keras untuk mengawal wabak itu.

Kesibukan membendung koronavirus telah menyebabkan sambutan tahun baru negara itu terpaksa dibatalkan dan berlakunya lambakan pesakit di hospital tempatan.

Wuhan dan beberapa bandar di wilayah itu dikuarantin menyebabkan kenderaan tidak dibenarkan keluar masuk dan pergerakan dibataskan.

Virus ini telah tersebar ke 14 buah negara dari pelbagai benua termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jepun dan Malaysia.

Virus itu menyebabkan kegusaran seluruh dunia kerana mempunyai persamaan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Wabak SARS telah membunuh ratusan mangsa di China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003 yang lalu.

Sumber: Channel News Asia

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.