Siakap Keli

Koronavirus: Kematian Meningkat, China Berdepan Masalah Kekurangan Bekalan Perubatan

ANKARA, 28 Jan — Pihak berkuasa China pada Selasa berkata anggota perubatan telah dikerahkan untuk memerangi wabak koronavirus namun, berdepan masalah kekurangan bekalan perubatan yang diperlukan, lapor agensi berita Anadolu.

Memandangkan jumlah kematian meningkat kepada 106 orang dengan kes mereka yang dijangkiti turut bertambah seramai lebih 4,500 orang, Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) China berkata lebih 10,000 katil hospital telah disediakan untuk pesakit, menurut South China Morning Post.

Bercakap pada sidang media di Beijing, Timbalan Ketua Biro Pentadbiran Perubatan NHC Jiao Yahui berkata 4,000 kakitangan perubatan telah ditempatkan di wilayah tengah Hubei.

“China menghantar kira-kira 6,000 anggota perubatan ke Hubei,” katanya dengan 1,800 dijangka tiba Selasa petang.

Virus yang berasal dari bandar Wuhan itu telah merebak ke 30 wilayah di negara ini.

Puluhan kes telah dilaporkan di Jepun, Korea Utara, Korea Selatan, Thailand, Amerika Syarikat, Singapura, Perancis, Malaysia, Australia, Vietnam dan Jerman.

“Kekurangan pakaian pelindung merupakan masalah utama dan disebabkan itu beberapa kakitangan perubatan kami tidak dapat bertugas di barisan hadapan,” kata Jiao.

Ini kali kedua dalam tempoh 17 tahun China berdepan krisis kesihatan serius, selepas Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002-2003, yang membunuh lebih 770 orang di seluruh dunia, sejak ia mula dikesan di negara itu.

Sumber: Bernama

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)