Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Disyaki Larikan Seutas Rantai Leher Bernilai RM35,000, Polis Berkas Lima Lelaki

Port Dickson : Polis memberkas lima lelaki yang disyaki melarikan seutas rantai leher emas berharga RM35,000 daripada sebuah kedai emas di Jalan Baharu di sini, dalam kejadian 22 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata suspek berusia antara 25 dengan 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Petaling Jaya, Selangor, sehari selepas kejadian itu.

“Dalam serbuan itu, pihak polis menemui semula rantai leher emas berkenaan. Polis turut merampas daripada mereka enam telefon bimbit, sehelai baju kemeja lengan pendek warna hitam dan sebuah kereta jenis Renault warna oren.

“Siasatan mendapati suspek utama dalam kes ini positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod mendapati suspek ini juga dikehendaki bagi kes bersangkutan Bukit Pelandok Report 1101/19 di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini, hari ini.

Katanya dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, seorang suspek berpura-pura ingin membeli seutas rantai leher emas dan sebaik memegang rantai berharga RM35,000, dia terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta. Ketika kejadian terdapat seorang jurujual di kedai emas terbabit.

Aidi Sham berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu lepas, namun suspek utama disambung reman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Aidi Sham berkata polis menahan tujuh lelaki berumur antara 14 dan 26 tahun disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk Tadika Perpaduan dan Sekolah Agama Rakyat di Taman PD Utama pada 6 dan 7 Jan lepas.

”Empat suspek ditahan pada 22 Jan di sebuah apartment Sunshine Bay, Jalan Pantai di sini, manakala tiga lagi ditahan di sekitar Port Dickson dan Teluk Kemang.

“Siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka mengaku terlibat dalam kes pecah masuk tadika dan sekolah berkenaan. Hasil tangkapan suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan lima kes seumpamanya di sekitar Port Dickson sejak dua bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemukan semula barangan yang dicuri di tadika dan sekolah terbabit iaitu sebuah pembesar suara, sebuah mesin ‘laminate’, sebuah mesin pencetak dan sebuah peti wang tunai yang kesemuanya bernilai RM1,300.

Katanya, lima suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Aidi Sham berkata kesemua suspek ditahan reman tujuh hari bermula 23 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.