Pasti ramai diantara kita yang pernah melancong ke luar negara mahupun berpengalaman tinggal di luar negara atas pelbagai urusan. Dan sememangnya semua orang pasti mengetahui bahawa kebanyakan negara terutamanya di bahagian eropah yang majoriti rakyatnya terdiri bukan daripada beragama Islam.
Sebagai seorang yang beragama Islam, kita telah dilarang untuk menyentuh atau pun memakan babi. Justeru daripada itu, makanan yang diperbuat daripada apa-apa bahagian pada haiwan ini langsung tidak boleh dimakan.
Seorang pengguna Facebook yang bernama M Hafiz Ostmann, ada berkongsikan tentang jenis-jenis babi serta nama yang lazimnya terdapat di dalam makanan-makanan di luar negara. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:
SUIDAE – Nak sembang pasal makan babi tak jadi jugak sebabnya Jerman johan bab makan babi ni, bukan China saja. Kalau di Jerman daging babi ni orang buat macam-macam masakan. Boleh dipanggang jadi Schweinebraten, digoreng jadi Wiener Schnitzel, dikukus jadi Maultasche, disalai dan memacam lagi la. Cuma babi masak 3 rasa tak pulak aku jumpa waktu di Jerman dulu. Hahaha.
Aku sendiri dulu pernah 2-3 kali nyaris termakan babi tapi mujurlah tak kena. Kalau makan salad tepi jalan tu janganlah main ngap je, sebab kadang-kadang dia letak juga daging babi hiris racik halus-halus masukkan sekali gaul sama mayonis, minyak zaitun siap dressing semua. Cumanya Jerman ni kalau kita tanya dia jujur jawab memang dalam masakan tu ada babi.
Kalau pergi stadium tu biasa orang makan babi gearbox, orang sana panggil Schweinehaxe, (sebutnya syvainehakse). Depa dok bungkus elok-elok benda ni dalam aluminium foil tu lepas tu makan sambil-sambil tengok bola atau makan kat Hauptbahnhof. Benda ni biasa dijual di pasaraya di Hauptbahnhof. Depa jual panas-panas. Bau dia memang sedap. Nampak rangup dan garing je.
Juga kalau di Jerman ni sosej depa buat biasa memang guna usus babi. Perkataan Schweinemagen biasa jumpa. Orang ingat sosej lembu, walhal daging lembu tapi sumbat dalam usus babi. Biasa tu. Jiran aku Turki liberal dok mentekedarah menatang tu. Bila tegur dia kata takpe, takde hal. Gasak engkaulah nak. Itu belum lagi waktu jiran aku orang Ukraine dok baik menggentel daging babi + daging lembu buat jejemput dia. Aku cakap baik-baik je la kat mamat Ukraine tu.
Ada macam-macam jenis hidangan babi yang aku kenal. Kalau di Jerman biasanya Schweinehaxe, Schweinebraten (babi grill) Eisbein (bahagian kaki babi masak grill), Spanferkel. Spanferkel ni anak babi panggang. Kalau ke kedai daging, depa panggil Metzgerei ada jumpa Schinken. Ni babi juga amik bahagian paha sama macam Itali punya Prosciutto. Ada sosej putih Weißwurst cukup terkenal di Munich. Pun babi juga.
Kalau di Itali babi macam-macam masakan ada. Pastinya Carbonara tak boleh dimakan sebab depa guna Pancetta atau Guanciale yakni daging bahagian pipi babi kemudian digaul masak bersama spaghetti dan keju Pecorino. Itu baru Carbonara Asli, bukan macam orang Malaysia buat Carbonara sikit punya banyak kuah sampai boleh buat istinjak. Depa di Itali suka makan Mortadella sejenis salami bersaiz besar juga diperbuat daripada daging babi. Dan biasa kalau di stadium-stadium Itali ada jual Porcetta, babi panggang sekor tu.
Nak jalan-jalan di Eropah kena reti sikit nama-nama babi ni. Dia ada macam-macam istilah daripada Cingiale, miale, porc, swine, hogs dan macam-macam lagi. Lagi satu orang kadang-kadang tak tahu masak goreng semua pakai menatang namanya Lard atau dalam Jerman disebut Schmalz. Ni lemak babi. Rupanya seakan mentega cuma warna dia putih cerah, jual murah-murah saja. Biasa orang buat goreng-goreng ganti minyak.
Sumber: M Hafiz Ostmann