Lelaki Tak Sangka Jumpa Makanan 'Unik' Di Arab Saudi Tapi Popular Di Malaysia
Setiap negara di dunia ini ada keunikan tersendiri, bukan sahaja dari segi budaya dan tradisi, malah juga melalui barangan yang dihasilkan.
Ada produk yang mungkin dianggap biasa di negara asalnya, tetapi menjadi sesuatu yang sangat istimewa apabila dilihat dari perspektif negara lain.
Menariknya, tidak semua barang ini boleh atau pernah dihasilkan di negara sendiri kerana faktor iklim, sumber semula jadi, teknologi, kepakaran tempatan atau permintaan pasaran.
Ada juga barangan yang tercipta hasil kreativiti dan gaya hidup masyarakat setempat, menjadikannya sesuatu yang eksklusif dan berbeza daripada negara lain.
Jumpa kuaci dari bunga matahari
Baru-baru ini, sebuah video tular memaparkan seorang lelaki Malaysia yang menetap di Arab Saudi menunjukkan barangan unik di salah sebuah pasar raya di Riyadh.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @muhdamranazizan di TikTok, lelaki tersebut tidak menyangka pasar raya berkenaan menjual kuaci yang boleh diambil terus daripada bunga matahari.
"Nak beli kuaci terus beli bunga matahari. Ada lagi benda unik di pasaraya di Arab Saudi," ujar beliau di ruangan komen.

Sementara itu, kuaci di Malaysia lazimnya dibungkus mengikut keluaran kilang masing-masing sebelum dijual di pasar raya atau kedai runcit, sekali gus berbeza dengan kaedah penjualan yang dipaparkan dalam video berkenaan.
Lebih menarik lagi, terdapat ‘food tester’ di mana pelanggan berpeluang mencuba memetik kuaci sendiri yang disusun bersama bungkusan bunga matahari yang lain.
Pengalaman ini memberi gambaran sebenar bagaimana biji kuaci diperoleh terus daripada bunga matahari sebelum dibungkus dan dijual.

Menurut @muhdamranazizan, para pelanggan boleh menyangai kuaci tersebut tanpa menggunakan minyak, sekali gus mengekalkan dan menambahkan keenakan semula jadi biji kuaci itu.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata berasa teruja dengan barangan unik yang dijual di Arab Saudi, sambil berkongsi pendapat masing-masing mengenai produk tersebut.
"Jadi ramai orang akan dapat didikan terus tentang kuaci asalnya dari bunga matahari," komen seorang wargamaya.
'Menariknya... boleh terus hidang atas meja," komen seorang lagi wargamaya.