Siakap Keli
Gambar: Bernama

Agong Zahir Harapan Rakyat Malaysia Pulang Dari Wuhan Dalam Keadaan Sihat

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar semua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan, China berada dalam keadaan sihat dan dihindari daripada jangkitan novel koronavirus 2019, serta penyakit yang tidak diingini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan jangkitan koronavirus itu, amat prihatin dengan keselamatan diri serta tahap kesihatan rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, berikutan penularan dan peningkatan jumlah kes jangkitan virus itu di China.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar mereka semua yang akan dibawa pulang ini, dilindungi dari simptom koronavirus, semoga mereka dapat bersama dengan keluarga dan sanak saudara tercinta, secepat yang mungkin.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya para pegawai dan kru penerbangan yang terlibat, atas usaha menjayakan dan kelancaran misi ini, untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China ke tanah air,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, atas usaha memantau tahap kesihatan kesemua rakyat Malaysia tersebut apabila tiba di negara ini, dan memastikan mereka bebas daripada jangkitan koronavirus serta penyakit yang tidak diingini.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.