Sebuah kapal persiaran dilaporkan berlayar di sekeliling Asia selama dua minggu tanpa tujuan, setelah ditolak oleh empat buah negara untuk berlabuh bagi mengelakkan jangkitan koronavirus atau nama baharunya COVID-19.
Kapal ”Holland America Line’s Westerdam” meninggalkan Hong Kong pada 1 Februari lalu untuk pelayaran mengelilingi Taiwan dan Jepun selama 14 hari.
Walau bagaimanapun, akibat peraturan yang dikenakan oleh beberapa negara bagi menyekat penularan COVID-19, telah memaksa kapal tersebut membatalkan rancangan asal mereka.
Selain tidak mendapat kebenaran untuk berlabuh di beberapa pelabuhan di negara Asia seperti Taiwan dan Jepun, Filipina dan Guam turut tidak membenarkan perkara sama.
Kapal yang membawa 1,455 penumpang dan 802 anak kapal itu kini merancang untuk mengakhiri perjalanan mereka di wilayah Laem Chabang, berdekatan Bangkok, Thailand pada 13 Februari ini.
Namun, Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, telah memberi kenyataan pendek di Facebooknya menyatakan kapal tersebut akan dihalang untuk berlabuh di negara Gajah Putih itu.
Mengikut jadual perjalanan asal, kapal ”Holland America Line’s Westerdam” akan berlabuh di Yokohama, Jepun, pada 15 Februari, dan melawat beberapa destinasi pelancongan seperti Fukuoka dan Okinawa.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kapal, mereka mempunyai minyak dan makanan yang cukup hanya sehingga tarikh akhir jangkaan untuk mereka berlabuh sebelum ini.
Penumpang dan anak kapal juga tidak dikuarantin dan tiada kes COVID-19 dilpaorkan di atas kapal setakat hari ini.
Difahamkan, kesemua penumpang akan menerima bayaran balik sepenuhnya dan juga kredit pelayaran.
Sumber : Independent