Siakap Keli

ADUN Johor Dititah Menghadap Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU, 26 Feb (Bernama) — Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dititahkan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, dekat sini, dipercayai berkaitan perkembangan terkini politik semasa negeri.

Tinjauan di Bangunan Sultan Ibrahim itu mendapati kenderaan membawa ADUN Johor tiba secara berperingkat-peringkat seawal 1.05 tengah hari.

Kenderaan yang dinaiki Sultan Ibrahim tiba di bangunan berkenaan pada pukul 2.44 petang disusuli kereta Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, tujuh minit kemudian.

Pada pukul 3.25 petang, kereta yang membawa Pemangku Raja Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat memasuki kawasan bangunan itu.

Terdahulu, kelihatan beberapa exco kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Jimmy Puah Wee Tse (ADUN Bukit Batu), Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan, dan Sumber Manusia Aminolhuda Hassan (ADUN Parit Yaani) serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Yang turut hadir ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (ADUN Gambir) yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain itu, Ketua Pembangkang DUN Johor Datuk Hasni Mohammad (ADUN Benut) turut kelihatan.

Bagaimanapun, beberapa ADUN disahkan tidak dapat menghadiri pertemuan itu berikutan masih berada di Kuala Lumpur ekoran perkembangan semasa politik negara.

Antara yang tidak hadir ADUN Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara serta Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa) yang juga Pengerusi Bersatu Johor.

Dewan Undangan Johor mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki Umno dan DAP, Bersatu (11 kerusi), Amanah (sembilan kerusi), PKR, (lima kerusi), MIC (dua kerusi) dan PAS dengan satu kerusi.

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.