Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan: Google

Buat Laporan Palsu Disamun Untuk Elak Didenda, Tukang Masak Ditahan

Bukit Mertajam: Seorang lelaki ditahan selepas dikesan membuat laporan palsu kononnya beg mengandungi kad pengenalan, pasport dan wang tunai miliknya disamun tiga lelaki dalam kejadian Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin berkata tindakan tukang masak berusia 24 tahun itu berjaya dikesan polis selepas dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT kira-kira pukul 11 pagi hari ini dan ditahan selepas mendapati keterangannya mencurigakan selain gagal menunjukkan lokasi tepat kejadian samun berkenaan.

“Menurut lelaki itu, dia sedang memandu kereta di Pusat Perniagaan Permai, di sini dalam kejadian pukul 3.30 petang Jumaat lepas, telah dihampiri dua buah motosikal dinaiki tiga lelaki yang menunjukkan sesuatu ke arah kenderaannya sebelum dia bertindak memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Tukang masak itu mendakwa dia turun untuk memeriksa bahagian hadapan kereta sebelum seorang daripada suspek membuka pintu pemandu dan mengambil begnya lalu memecut laju motosikal mereka, namun siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut hanya mereka cerita berkenaan kerana telah kehilangan kad pengenalan serta pasportnya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu mengaku membuat laporan palsu kerana ingin membuat kad pengenalan dan pasport yang telah hilang, namun tidak mahu dikenakan denda, malah dia juga mengaku tidak tahu bila dokumen tersebut hilang.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.