Siakap Keli
Kredit: Google

Kes Bunuh Zulfarhan: Tiga Tertuduh Nafi Bergilir-gilir Cederakan Mangsa

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Tiga tertuduh yang didakwa mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, menafikan bahawa mereka melakukan perbuatan itu untuk mendapatkan pengakuan mangsa yang dituduh mencuri komputer riba rakannya.

Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa, kesemuanya berusia 24 tahun, membuat penafian itu ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Muhammad Hasif berkata dia dan rakan-rakannya telah membawa Zulfarhan ke Klinik Al-Salam di Bangi pada 26 Mei 2017, beberapa hari sebelum Zulfarhan disahkan meninggal dunia, bagi mendapatkan rawatan awal kerana mereka mengambil berat tentang keadaan mangsa ketika itu.

“Saya juga ada membantu membelikan makanan untuk Zulfarhan dalam tempoh beberapa hari dia berada di bilik saya,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam A.G Kalidas pada prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Bagaimanapun, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, tertuduh ketujuh itu menafikan bahawa beliau membelikan makanan untuk Zulfarhan kerana mangsa ketika itu dalam keadaan sakit teruk dan tidak boleh keluar dari bilik.

Tak tahu tentang kehilangan komputer riba, seterika wap hingga ditahan polis

Muhammad Adib Iman, yang diwakili peguam Azizul Shariman, pula berkata pada hari kejadian dia hanya ke bilik 3-05 selama seminit untuk bertemu Mohamad Syazwan kerana ingin meminjam sabun cuci pakaian.

Ketika disoal oleh Julia, tertuduh kesembilan itu menafikan bahawa dia turut bergilir-gilir memukul, menyepak dan menumbuk Zulfarhan kerana ingin mendapatkan pengakuan mangsa berkaitan komputer riba yang didakwa dicurinya.

Katanya, dia juga langsung tidak mengetahui kisah kehilangan komputer riba milik tertuduh pertama (Muhammad Akmal Zuhairi) dan seterika wap sehingga mereka ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kematian Zulfarhan.

Nafi cederakan mangsa secara bergilir-gilir

Sementara itu, Mohamad Syazwan yang juga tertuduh ke-10, tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia dan rakan-rakannya secara bergilir-gilir bertindak mencederakan Zulfarhan pada malam itu kerana mangsa tidak mengaku mencuri komputer riba tertuduh pertama.

Julia: Saya cadangkan oleh sebab bilik itu adalah bilik awak, awak memang dengar butir-butir soal jawab antara si mati dan rakan-rakan lain yang berada di bilik awak (mengenai kehilangan komputer riba)

Mohamad Syazwan: Saya tidak setuju.

Julia: Saya cadangkan oleh kerana si mati tidak mengaku, awak dan rakan-rakan awak bertindak mencederakan Zulfarhan secara bergilir-gilir pada malam itu.

Mohamad Syazwan: Saya tidak setuju.

Julia: Saya katakan keterangan awak tentang awak tidur mati dan tidak sedar adalah tidak benar kerana perbuatan pukul-memukul itu berlanjutan sehingga waktu Subuh di bilik 3-05.

Mohamad Syazwan: Saya tidak setuju Yang Arif.

18 penuntut diperintah bela diri

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 9 April depan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.