Siakap Keli

Keganasan Di New Delhi, Angka Korban Meningkat 42 Orang

NEW DELHI, 29 Feb – Jumlah kematian akibat rusuhan di New Delhi semakin meningkat menyaksikan 42 orang terbunuh pada Jumaat, memetik pegawai lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, lebih 350 orang lagi cedera dalam keganasan yang telah berlarutan selama tiga hari.

Pegawai polis itu berkata keadaan masih terkawal namun anggota keselamatan masih ditempatkan di kawasan terjejas.

Keganasan menyebabkan pelbagai kerosakan apabila perusuh bertindak membakar kenderaan, kedai dan bangunan.

Polis New Delhi dikecam hebat kerana dikatakan gagal bertindak dan mengambil langkah pencegahan sepatutnya.

“Laporan awal sebanyak 123 kes telah didaftarkan dan kira-kira 630 orang ditahan. Keadaan beransur pulih dan jumlah panggilan kecemasan juga menurun dengan drastik ,” kata Pegawai Perhubungan Awam Polis New Delhi MS Randhawa.

Kekacauan semakin meruncing terutamanya di timur laut bandar raya itu, apabila perusuh membawa pelbagai senjata, melakukan vandalisme selain bertindak ganas.

Ramai penduduk terutama umat Islam terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dan lari mencari perlindungan.

Rusuhan membabitkan puak yang menyokong dan membantah Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang mula tercetus pada Ahad.

Bibit-bibit bantahan terhadap undang-undang baharu itu bermula sejak  parlimen India meluluskannya pada 11 Disember lalu.

Undang-undang itu membolehkan pendatang tanpa izin beragama – Hinduisme, Sikhisme, Buddhisme, Jainisme, Parsi dan Kristian – dari Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan  mendapat kewarganegaraan. Bagaimanapun, ia tidak tertakhluk kepada pendatang beragama Islam.

Setakat ini, keganasan itu meragut lebih 70 nyawa.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.