Siakap Keli
Foto: Bernama

Kilang Bihun Musnah Dalam Kebakaran

KEPALA BATAS, 1 Mac – Pihak bomba mengambil masa lebih tujuh jam untuk memadam kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses bihun dan mee di Jalan Lahar Kepar, di sini yang terbakar dalam kejadian awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata sebuah jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran kilang berkenaan pada pukul 3.45 pagi.

“Sebaik tiba, api sedang marak kerana keadaan angin ketika itu juga kuat dan sebahagian kilang yang berkeluasan kira-kira 10,000 kaki persegi itu telah terbakar, pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya di sini hari ini.

Katanya dengan kekuatan lebih 150 pegawai serta anggota bomba, dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari kawasan berdekatan, operasi memadam kebakaran kilang itu selesai sepenuhnya pada kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Beliau berkata kebakaran itu memusnahkan lebih 90 peratus struktur bangunan kilang termasuk mesin dan barang-barang kelengkapan memproses bihun serta mi.

Jurucakap itu berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah kebakaran namun pihaknya menunggu laporan penuh pasukan forensik bomba.

“Tiada kemalangan jiwa atau sesiapa cedera dalam kebakaran itu dan menurut pemilik kilang itu, 120 daripada 150 pekerja kilang yang terdiri daripada warga asing, ketika ini sedang menjalani kursus ‘team building’ di Ipoh, Perak,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang