Siakap Keli
Gambar: Muslim Volunteer Malaysia

16.9 Kilogram Sampah Dikutip Sepanjang Sungai Gabai

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

MENGEJUTKAN! Kira-kira 16.9 kilogram sampah daripada pelbagai jenis berjaya dikutip sepanjang trek pejalan kaki di Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Dapatan kutipan itu disahkan oleh jawatankuasa audit, program Nature Hero: Clean Up Sungai Kita, Nusrah Yunus berdasarkan proses audit yang dijalankan ke atas sampah-sampah tersebut.

Menurut Nusrah, 16.9 kilogram sampah itu terdiri daripada plastik dan bahan buangan umum sebanyak 14.7 kilogram, aluminium dan tin 1.2 kilogram, kaca (kebanyakannya botol arak) 0.95 kilogram dan kertas (termasuk kotak air minuman dan kotak rokok) 0.05 kilogram.

Selain itu, hasil kutipan sampah yang paling ‘berbahaya’ kepada bumi dan alam sekitar juga amat mendukacitakan di mana sebanyak 336 puntung rokok beserta 86 batang straw plastik turut berjaya ‘diselamatkan’.

Gambar: Muslim Volunteer Malaysia

Difahamkan, kesemua sampah yang dikutip oleh kira-kira 25 sukarelawan Muslim Volunter Malaysia (MVM) itu adalah dari kawasan persisiran sungai dan trek sahaja, tidak termasuk yang berada di semak hutan, gaung, tebing, celahan akar pokok mahupun yang telah hanyut ke sungai.

Dalam pada itu, Nusrah turut menyampaikan nasihat buat orang awam, khususnya bagi yang pergi ke kawasan alam sekitar yang masih terpelihara.

Gambar: Muslim Volunteer Malaysia

“Elakkan membawa polistrin kerana menurut kajian, ia mengambil masa hingga lebih 500 tahun untuk dilupuskan.

“Selain itu, bawa bekas makanan yang boleh diguna pakai berulang kali (reusable) agar jumlah penggunaan bekas plastik yang tidak boleh dilupus dapat dikurangkan.

“Jangan buang puntung rokok ke tanah atau ke dalam sungai, ia akan menyebabkan pencemaran,” jelasnya.

Sementara itu, Nusrah menambah lagi,  sisa makanan juga perlu dibuang ke dalam tong sampah.

Clean as you go,” jelasnya berkenaan mereka yang ingin berkelah di sungai dan perlu memastikan kawasan berkelah tersebut dikemas seperti sediakala.

Sebelum ini, MVM turut pernah menjalankan program alam sekitar berupa konsep yang sama, iaitu membersihkan pantai di sebuah pantai terkenal di Selangor pada Oktober tahun lepas dan jumlah berat sampah yang berjaya dikutip adalah sebanyak 139.71 kilogram.

Cintailah alam sekitar kita.

Gambar: Muslim Volunteer Malaysia

Sumber: Muslim Volunteer Malaysia, Facebook Nusrah Yunus

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.