Siakap Keli
Gambar: Bernama

OKU Berkerusi Roda Cari Rezeki Dengan Upah Menjahit

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

KOTA BHARU, 4 Mac  — Walaupun terpaksa berkerusi roda akibat kecacatan di kaki namun ia tidak menjadi penghalang kepada Ruzanna Zainudin, 35, untuk berdikari dengan mengambil upah menjahit pakaian bagi menambah sumber pendapatan keluarganya.

Meskipun pergerakan harian beliau menggunakan kerusi roda sepenuhnya, namun ibu kepada seorang anak ini tetap cekal berusaha menjana pendapatan tambahan dengan mengambil upah menjahit bagi membantu suaminya Mohd Nor Eizan Mamat Laksamana, 33, yang juga cacat fizikal dan hanya bekerja kampung.

“Saya tidak pernah menjadikan kekurangan ini sebagai penyebab untuk meminta-minta tetapi ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa golongan seperti saya ini juga mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Cherang di sini.

Ruzanna, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kategori fizikal sejak dari lahir yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya lemah dan tidak mampu untuk berdiri, mula membina kerjaya sebagai tukang jahit lebih 10 tahun yang lepas.

Katanya, pada tahun 2003 dia mula mengikuti bengkel kemahiran teknik jahitan pakaian swasta di ibu kota selama setahun dengan kadar yuran bulanan RM200.

“Selepas tamat mengikuti bengkel itu, saya bekerja di sebuah kilang pakaian seragam di Pengkalan Chepa, Kota Bharu sebagai tukang jahit selama setahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan bekerja sendiri,” katanya.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada enam beradik ini berkata, selepas berhenti bekerja beliau mula memberanikan diri menjahit pakaian sendiri serta adik beradik dan mula yakin untuk mengambil tempahan dari orang ramai yang dilakukan sendiri di rumahnya.

Walaupun dia cacat fizikal dan tidak sempurna seperti tukang jahit yang lain namun pelanggan yang mendapatkan khidmatnya tidak pernah meragui kemampuannya menjahit pelbagai fesyen baju seperti baju kurung moden dan kebaya.

“Pelanggan yang menghantar tempahan bukan sahaja dari kalangan penduduk sekitar sahaja, malah ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu dengan kadar upah jahit bermula RM25 hingga RM45 bergantung kepada jenis kain dan fesyen,” katanya.

Ruzanna berkata, dengan keadaan serba kekurangan dia hanya mampu mengambil tempahan mengikut kemampuan sahaja, kerana khuatir tidak mampu menyiapkan tempahan kerana hanya bekerja seorang diri.

“Kebiasaannya, pada bulan-bulan biasa saya menerima tempahan kira-kira 40 pasang dan apabila menghampiri musim perayaan tempahan akan mencecah sehingga 150 pasang. Malah saya mampu menyiapkan satu hingga dua pasang baju sehari bergantung kepada jenis rekaan,” katanya yang mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan pada bulan biasa.

Mengakui turut menghadapi kesukaran ketika bekerja beliau berkata antara cabaran dan kesukarannya dalam menyiapkan tempahan pelanggan adalah apabila terpaksa mengambil ukuran badan pelanggan.

“Memandangkan saya tidak dapat berdiri, saya terpaksa meminta pelanggan untuk duduk bagi mengambil ukuran badan mereka, dan ada ketika saya terpaksa meminta mereka mengukur sendiri namun ia tidak menjadi masalah kepada pelanggan yang sudah biasa dengan keadaan diri saya,” katanya.

Seorang pelanggan Noorsofea Qistina Abdul Rahman, 30, ketika ditemui berkata Ruzanna menjadi antara tukang jahit pilihannya untuk menjahit baju kurung sejak beberapa bulan lepas.

“Walaupun dia bukan tukang jahit seperti orang normal, namun ia tidak menjejaskan kualiti jahitan yang dihasilkan bahkan sangat kemas dan selesa apabila dipakai,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.