Siakap Keli

Percaya Dakwaan Alkohol Boleh Melawan Covid-19, Sekurang-Kurangnya 27 Orang Terkorban Di Iran Akibat Keracunan

Sekurang-kurangnya 27 orang di wilayah Khuzestan dan Alborz di barat daya Iran meninggal dunia akibat keracunan alkohol, lapor Agensi Berita Fars pada Isnin.

Beberapa orang dilaporkan telah meminum methanol dan ethanol gred-perindustrian dalam ‘usaha sesat’ mereka untuk mencegah koronavirus yang sedang melanda negara tersebut.

Satu khabar angin yang tidak berasas tentang meminum alkohol boleh membunuh virus berkenaan telah tersebar ke seluruh negara. Sejak dari itu, kes-kes keracunan alkohol di hospital di Iran melonjak secara mendadak, lapor agensi berita Mehr. Lebih dari 200 orang dilaporkan telah dimasukkan ke wad di Khuzestan sahaja, lapor Agensi Berita Iranian Labour.

“Beberapa warga Ahwaz telah mendakwa bahawa mereka telah mendapat info yang menyatakan minum alkohol boleh membantu mereka melawan koronavirus, jadi mereka pun mengikuti info itu sebagai langkah pencegahan,” kata Ali Ehsanpour, jurucakap dari Universiti Sains Medikal Ahwaz, lapor agensi berita.

Negara Islam tersebut telah mengharamkan minuman beralkohol, kerana tiada pilihan, warga Iran terpaksa menggunakan cecair pembersih tangan yang mengandungi alkohol yang dijual di pasar raya, lapor Berita ABC.

Di Khuzestan, seramai 218 orang telah dimasukkan ke hospital walaupun jumlah kes yang dijangkiti Covid-19 hanya 73 orang.

“Salah seorang daripada mangsa itu telah buta dan ada yang kritikal,” kata Ehsanpour.

Iran merupakan negara di Timur Tengah yang paling teruk dilanda wabak Covid-19 dengan lebih 6,000 kes dijangkiti serta 200 kematian dicatatkan berlaku di seluruh negara itu. Sistem kesihatan negara tersebut kini sedang dibebani dengan sekatan dari Amerika Syarikat dan ekonomi yang kian merosot. Disebabkan itu, Iran sedang berhadapan dengan kekurangan bekalan dan perubatan dalam usaha untuk mengawal wabak ini.

Sumber: National Post

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa