Siakap Keli

(Video)”Tiada Pelancong Bagi Makan,” Ratusan Monyet Berebut Sebiji Pisang Untuk Isi Perut

Ratusan monyet yang kelaparan dilihat merusuh sesama sendiri kerana sebiji pisang di Thailand selepas wabak koronavirus telah menyebabkan penurunan drastik jumlah pelancong yang memberi makan kepada mereka.

Pada sebelum ini, haiwan tersebut kebiasaannya diberi makan oleh pelancong di Lopburi, Thailand, namun bilangan pengunjung ke kawasan itu telah merudum kerana virus Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Monyet-monyet itu dilaporkan terdiri daripada dua kumpulan iaitu monyet yang tinggal di kota dan monyet yang tinggal di kuil. Kedua-dua kumpulan monyet itu terpaksa bersaing sesama sendiri bagi mendapatkan pisang tersebut.

Sebuah rakaman yang memaparkan beratus-ratus monyet yang menyeberang jalan dan kemudian mengejar seekor monyet yang sedang memegang pisang tersebut telah berlegar di media sosial.

Pada mulanya monyet-monyet itu dilihat berlari bertempiaran untuk mencari makanan.

Tidak lama kemudian, monyet-monyet tersebut secara dramatiknya telah mengejar seekor monyet yang sedang memegang pisang.

Mereka dilihat melompat dan menerjah ke arahnya kerana sebiji pisang.

Malah, penduduk tempatan yang biasa melihat monyet-monyet itu pun terkejut dengan kejadian tersebut.

Seorang wanita bernama Sasaluk Rattanachai berjaya merakamkan kejadian berkenaan dari luar kedai di mana dia bekerja.

Katanya: “Mereka lebih kelihatan seperti anjing liar berbanding monyet. Mereka menjadi gila hanya untuk makanan. Saya tidak pernah menyaksikan sifat agresif mereka sebelum ini.

“Saya rasa monyet ini betul-betul sedang kelaparan. Kebiasannya ramai pelancong di sini yang akan memberi makanan kepada mereka, namun disebabkan wabak Covid-19, bilangan pelancong sudah tidak ramai.”

Lopburi merupakan rumah kepada ribuan monyet liar yang berkeliaran di jalanan dan bangunan. Banyak yang hidup di sebuah kuil purba yang terletak di bandar tersebut.

Difahamkan monyet ini terbahagi kepada dua kumpulan, satu tinggal di kawasan kuil dan satu lagi tinggal di bandar, menurut laporan Bangkok Post.

Sumber: Daily Mail

"