Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: Kaunter Pusat MM2H Ditutup Hingga 30 April

Semua kaunter di pusat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di aras satu dan aras 10 Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di sini ditutup berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 April ini sebagai langkah pencegahan COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataannya hari ini berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira kebanyakan pengunjung yang datang adalah warga asing dari pelbagai negara.

“Langkah ini juga penting bagi mengurangkan kebarangkalian penyebaran COVID-19 oleh pengunjung warga asing kepada petugas di pusat MM2H,” katanya lagi.

Kata Nancy, sebarang permohonan baharu berkaitan MM2H hanya boleh dikemukakan melalui pos.

Bagi permohonan seperti permohonan pengeluaran simpanan dan penamatan, dan dokumen permohonan boleh dikemukakan melalui e-mel di [email protected], katanya.

Nancy berkata, bagi permohonan yang melibatkan pembayaran di kaunter Imigresen di pusat MM2H, pemohon perlu membuat temujanji dengan pegawai Imigresen di pusat MM2H terlebih dahulu.

“Semua pengesahan permohonan baharu  akan ditangguhkan. Sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung dengan pusat MM2H di talian 03-8891 7424,” katanya lagi.

Nancy berkata, penutupan sementara kaunter di pusat MM2H tidak akan menjejaskan segala urusan berkaitan dengan program itu dengan adanya prosedur alternatif yang telah dikemukakan.

“Pembukaan semula kaunter akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Nancy turut memberi jaminan bahawa kementeriannya komited dalam menangani isu penularan wabak COVID-19 selaras dengan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh kerajaan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right