Siakap Keli
Foto: Bernama

“Hati-Hati Jangan Leka”, Sempat Tinggal Pesanan Sebelum Terkorban Dalam Kebakaran Di Pengerang

KOTA TINGGI, 16 Mac – “Hati-hati dan jangan leka.” Itulah pesanan seorang daripada  mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran Diesel Hydro Treater unit di Kompleks Bersepadu Pengerang, dekat sini, malam tadi.

Fadhi Akmal Fadzil, 28, disenaraikan antara lima mangsa terkorban akibat kejadian itu yang berlaku kira-kira 10.50 malam tadi.

Adik mangsa, Faizul Ikhwan Fazil, 26, yang turut bekerja di Pengerang, masih tidak percaya sehingga kini dengan berita kehilangan abangnya.

“Abang sebelum ini selalu pesan hati-hati kerja di kawasan macam ini sebab kerja ini berisiko dan bahaya. Bila-bila boleh meletup, jangan leka,” katanya yang menjelaskan selama abangnya bekerja di Pengerang selama tiga tahun itu, telah banyak membantu keluarga selama ini.

“Saya dapat tahu pagi ini dalam pukul 9.00 pagi melalui whatsapp dari kawan abang yang beritahu abang saya sudah tiada dan minta saya pergi ke hospital. Keluarga saya juga dalam perjalanan dari Kedah (Sungai Petani) termasuk abang dari Sarawak juga akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi di sini, hari ini.

Faizul Ikhwan, yang sudah lama tidak bertemu abangnya, berkata abangnya baru sahaja pulang dari kampung selepas dua minggu bercuti di Kedah.

“Dia baru mula kerja balik semalam dan dia kirim gulai dan mee sanggul mak saya yang saya pesan untuk isteri saya yang sedang mengandung kepada adik saya, yang juga bekerja di sini.

“Sebelum ini, dia banyak tolong adik-adik, saya hendak berkahwin, semua dia tolong saya juga. Dia ada beli rumah di Bayu Damai, dekat sini dan bila rumah sudah siap, dia ada bagi tau hasrat hendak berkahwin,” katanya sambil menambah, dari lapan beradik, tiga adik-beradiknya termasuk arwah bekerja di Pengerang.

Sementara itu,  Nor Efendi  Ismail, 39, menyifatkan kejadian yang menimpa adik iparnya, Norfazly Md Nor, 31, sebagai satu kehilangan besar bagi kedua-dua belah keluarga.

Katanya, semua ahli keluarga terkejut kerana arwah baru sahaja menyambut ulangtahun perkahwinan yang ketiga dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Saya dapat berita ini dari ibu saya pada pukul 7.15 pagi dan mengajak ibu saya ke Johor. Kami rapat, dia memang penyayang, lembut, suka membantu adik-beradik dan kalau kita bagi nasihat dia, memang terima.

“Arwah hormat orang. Saya sedih dengan kejadian ini memikirkan anak buah saya yang berusia dua tahun lebih sudah jadi anak yatim, jadi saya akan bertanggungjawab bantu adik saya (isteri arwah),” katanya.

Beliau berkata, keadaan adiknya kini masih dalam keadaan sedih dan tidak stabil berikutan kehilangan suami dan beliau akan memikul tanggungjawab untuk menguruskan jenazah untuk dibawa pulang ke Melaka.

“Arwah memang pernah kata kerja ini memang ada risiko, bahaya dan saya pun tahu kerja bidang ini berbahaya jadi kita sedia maklum.

“Saya redha dengan pemergiannya. Ini ujian untuk kedua-dua belah keluarga dan terima kasih kepada Petronas kerana menjaga kebajikan adik ipar. Saya dimaklumkan Petronas akan uruskan segalanya,” katanya lagi.

Sementara itu, situasi di perkarangan Unit Perubatan Forensik itu sayu apabila waris dan ahli keluarga mangsa dilihat menangis berpelukan sesama ahli keluarga apabila tiba di perkarangan bagi proses pengecaman mayat mangsa kebakaran.

Dalam kejadian kebakaran itu, lima ditemui rentung, manakala seorang lagi selamat dan seorang lagi melecur 40 peratus.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang