Siakap Keli
Gambar: Bernama

Malaysia, Singapura Bincang Benarkan Rakyat Malaysia Bekerja Jika Tempat Tinggal Disediakan

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) — Malaysia dan Singapura sedang berbincang mengenai nasib hampir 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu bagi membenarkan mereka meneruskan pekerjaan masing-masing berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata idea itu dicadangkan Malaysia dengan syarat Singapura menyediakan tempat tinggal kepada pekerja terbabit.

“Kita (kedua-dua negara) telah pun berhubung dan berbincang… Perdana Menteri kita telah berbincang dengan Perdana Menteri Singapura, malah saya juga berbincang dengan Menteri Pertahanan Singapura, begitu juga beberapa menteri kanan yang lain.

“Jadi perkara ini sedang dalam perbincangan… insya-Allah kita akan umumkan dalam masa yang terdekat ini, mengenai pekerja-pekerja kita yang sedang bekerja di Singapura,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac lepas mengisytiharkan bahawa Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right