Kredit: Google

Lelaki Ditahan Halang Tugas, Lempar Kata-Kata Kesat Kepada Polis

SUNGAI PETANI, 19 Mac (Bernama) — Seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah rumah ibadat, di sini kerana menghalang tugas penjawat awam dengan mempertikai dan menghamburkan kata-kata kesat kepada polis selepas diminta akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan ketika ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata, pihak polis yang membuat pemantauan di rumah ibadat itu kira-kira 10.30 pagi berikutan penguatkuasaan perintah berkenaan telah mendapati sekumpulan individu berada di situ.

“Pihak polis telah memberi penjelasan kepada mereka mengenai perintah ini dan meminta mereka beredar dan mereka yang lain akur cuma seorang individu cuba mempertikaikan pihak berkuasa jadi polis memutuskan untuk tahan dia.

“Tapi kita tahan dia bukan sebab langgar syarat Perintah Kawalan Pergerakan tapi kerana menghalang tugas penjawat awam selepas kita minta dia beredar, dia tidak mahu beredar, dia maki kita, tidak mahu bagi kerjasama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Adzli mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan perintah yang telah dikeluarkan dan akur dengan arahan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengeluarkan nasihat kepada orang ramai agar patuh kepada semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan, bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Sumber: BERNAMA

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Editor: Fazidi

Tambah komen

Dari Wiser.my