Siakap Keli

Bimbang Jangkitan COVID-19, Pasangan Pengembara Kapcai Tekad Pulang Segera Ke Malaysia

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

MENGEMBARA ke serata dunia dengan menaiki motosikal jenis kapcai adalah sesuatu yang sangat luar biasa, apatah lagi jika hobi itu dilakukan bersama pasangan sendiri.

Namun, apabila musim wabak COVID-19 mula menyerang segenap penjuru dunia, ia turut memberi kesan kepada aktiviti itu dan agak ‘melumpuhkan’ perjalanan pengembaraan tersebut.

Cabaran ini turut dirasai oleh pasangan pengembara kapcai atau ‘kapcaipackers’, Mohd Alfishahrin dan isterinya Diana Latief yang telah mengembara ke banyak negara dengan motosikal kapcai jenis Honda RS150 sejak hujung tahun lepas.

“Saya mula keluar (mengembara) dari Malaysia pada 4 November 2019 dan masuk ke Turki pada 4 Januari awal tahun ini.

Pasangan ‘kapcaipackers’ ini sudah menjelajah kira-kira 8,000 kilometer sejak pengembaraan bermula 4 November lalu. Gambar: Facebook

“Sudah lama saya duduk di Turki, sebab di sana kes ‘0’ (tiada kes).

“Tapi Jumaat minggu lepas, kes pertama jangkitan COVID-19 disahkan dikesan di sana dan statistik kesnya makin laju naik hari ke hari,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Ekoran kebimbangan yang mula timbul, mereka berdua membuat keputusan drastik untuk terus pulang ke tanah air demi keselamatan diri.

“Nasib baik saya ambil keputusan balik je terus. Kalau saya lambat lagi dua tiga hari, mesti sangkut sebab flight banyak dah cancel.

“Mana-mana yang beli tiket flight transit, semua cancel dan kena beli baru,” jelasnya lagi.

Papan skrin jadual penerbangan yang memaparkan banyak penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan. Gambar: Facebook

Mereka membeli tiket dengan segera pada Selasa lalu dan tiba di Malaysia petang semalam.

“Selasa kami beli tiket. Pagi tu decide, tengah hari terus beli.

Parking motor dan terus ke airport. Balik pun pakai riding jacket dan seluar (sut lengkap),” ujarnya.

Difahamkan, motosikal kapcainya itu disimpan sementara waktu di bawah jagaan rakannya di sana.

Mohd. Alfishahrin bersama isteri, Diana Latief di dalam kapal terbang untuk pulang ke Malaysia dan masih lengkap berpakaian sut motosikal. Gambar: Facebook

Bagaimanapun, mengenai tempoh kuarantin selepas pulang dari luar negara, beliau menjelaskan bahawa mereka mengkuarantinkan diri di rumah kakaknya.

“Sampai di airport terus balik ke rumah kakak saya, kuarantin diri sendiri 14 hari.

“Kakak saya pula tinggal di rumah family saya, so hanya kami berdua sahaja di rumah dia (kakak).

Family pun kami tak jumpa, hanya berhubung melalui WhatsApp sahaja,” jelas beliau dalam satu kiriman di Facebooknya hari ini.

Surat arahan kuarantin oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Gambar: Facebook

Sepanjang pengembaraan bersama kapcainya, Mohd Alfishahrin sudah menjejaki banyak negara di sekitar Asia dan Eropah seperti Thailand, India, Pakistan, Nepal, Iran, Croatia, Greece, Syria, Perancis dan banyak lagi.

Bergambar di hadapan Eiffel Tower, Perancis.
Bukan sahaja mengembara, mereka turut berpeluang menyantuni anak-anak pelarian di kem pelarian Syria bersama sebuah badan kemanusiaan pada awal Februari lalu. Gambar: Facebook

Sumber: Mohd Alfishahrin

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'