Siakap Keli
Gambar: Twitter Jason Hassenstab

Pelancong Amerika Puji Cara Malaysia Urus COVID-19, Lebih Baik Dari Apa Kerajaannya Buat

Cara negara kita mengendalikan situasi penularan COVID-19 mendapat pujian seorang warga Amerika Syarikat (AS).

Jason Hassenstab berkata, biarpun Malaysia bukan negara dunia pertama, namun cara kerajaan menguruskan krisis tidak mengetepikan penduduk pedalaman.

“Kami baru pulang daripada pengembaraan luar biasa di Malaysia. Saya takkan bosankan kalian dengan (kisah) kelewatan perjalanan, tapi dua hari setengah kemudian kami pulang ke rumah dan sihat seperti kini.

Menurut Jason, dia dapat melihat perbezaan antara Malaysia dengan AS.

“Di Malaysia, kami pergi ke empat bandar termasuk Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan. Saya tak letakkan Malaysia sebagai negara dunia pertama melihat kepada tahap kemiskinan di sini.”

Mesej kesedaran hingga ke ceruk pedalaman

“Walaubagaimanapun, bukti penguatkuasaan Malaysia terhadap COVID-19 berada di mana-mana termasuk di pedalaman hutan hujan di mana kami tinggal.

“Syarikat telekomunikasi menghantar mesej mengenai penjarakan sosial (social distancing) setiap hari.”

Tambahnya, pengawal keselamatan untuk memastikan penjarakan sosial turut ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Sepanduk maklumat dengan panduan bertulis dan bergambar berada dimana-mana, dicetak oleh Kementerian Kesihatan mereka.

“Kerusi di lapangan terbang ini dilekat dengan pita supaya ada (selang) kerusi kosong di setiap kerusi yang dibuka (untuk diduduki),” tulisnya lagi.

“Semua pekerja lapangan terbang memakai topeng, pembasmi kuman berada di setiap kaunter, mesin daftar tunai dan stesen.

“Kerajaan mereka mempunyai mesej yang konsisten; duduk di rumah, jaga jarak dan bersihkan tangan.

“Dan seluruh negara patuh dengannya.”

Berbeza dengan AS

Sebaliknya menurut Jason, di salah satu lapangan terbang paling sibuk di dunia, Atlanta, AS, hanya sekitar 5 peratus petugas imigresen dan kastam yang memakai penutup muka atau sarung tangan.

“Tiada pembasmi kuman melainkan beberapa tandas. Kedai dibuka dan berniaga seperti biasa. Orang ramai bersesak-sesak tanpa menjaga jarak,” katanya.

“Orang ramai melihat dan menggelengkan kepala kerana kami memakai topeng.

“Dan sebelum anda katakan topeng tidak begitu berkesan, kami memakainya untuk melindungi orang lain sekiranya kami ada jangkitan dan mengelakkan kami menyentuh wajah terlalu kerap.”

Penumpang tidak disaring sebaiknya

Tambah Jason, salah seorang penumpang penerbangan dinaikinya dari Tokyo mempunyai simptom demam yang teruk disertai muntah dan sakit badan. Katanya, pesakit itu hanya dipakaikan topeng setelah bantuan perubatan tiba ketika separuh penerbangan.

“Paramedik dan petugas CDC berada di pintu masuk dan menguruskan pesakit tersebut. Namun, baki penumpang melalui kastam seperti tiada apa yang berlaku,” katanya.

Hanya mereka yang dari Malaysia dan Singapura sahaja disaring dari demam.

“99 peratus mereka dari penerbangan antarabangsa termasuk Tokyo, UK dan negara Kesatuan Eropah yang lain melepasi (kastam) termasuk menyentuh pengimbas cap jari tanpa sebarang langkah berjaga-jaga dan saringan lanjut.”

Menurutnya, dia mengenali lima orang pesakit COVID-19 di mana tiga daripadanya merupakan doktor.

“Ini bukan jenaka atau penipuan, orang ramai akan mati dalam skala yang besar melainkan langkah berjaga-jaga secara ekstrem diambil,” katanya menekankan kepentingan sistem kesihatan awam dan respon kerajaan yang kukuh menghadapi pandemik ini.

“Kita perlu mesej yang jelas dan konsisten untuk mengawal wabak dan ianya jelas menunjukkan kepimpinan negara kita perlu mencontohi negara seperti Malaysia.”

Sumber: Jason Hassenstab

Amira

Love yourself.