Siakap Keli
Kredit: The Jakarta Post/Google

Kekurangan Sumber, Indonesia Diramal Jadi Pusat Penularan COVID-19 Seterusnya- Pakar

Jakarta, 25 Mac- Kekurangan katil, fasiliti kesihatan dan staf perubatan mendedahkan Indonesia kepada risiko menjadi pusat penularan COVID-19 yang baru.

Menurut Channel News Asia, pakar kesihatan menyatakan Indonesia menghadapi peningkatan kes koronavirus berikutan tindakan kerajaannya yang lambat membuatkan skala penularan wabak itu tidak jelas.

Setakat ini, Indonesia merekodkan 686 kes, namun data itu dipercayai tidak menggambarkan jumlah sebenar berikutan kadar ujian saringan yang rendah dan kadar kematian yang tinggi di sana.

Dari jumlah tersebut, sebanyak 55 kes kematian telah direkodkan sekaligus menjadikannya negara dengan kematian paling tinggi di Asia Tenggara akibat COVID-19.

Anggaran hanya 2 peratus kes direkod

Sementara itu, Pusat Pemodelan Matematik Penyakit Berjangkit berpusat di London pula menganggarkan hanya 2 peratus kes di Indonesia telah direkodkan.

Angka itu menjadikan jangkaan jumlah sebenar kes COVID-19 di negara itu mencecah 34,300 kes, iaitu lebih tinggi dari Iran.

Dalam laporan CNA lagi, pemodel lain menjangkakan senario terburuk jika bilangan kes di negara itu boleh meningkat hingga 5 juta orang di ibu negara sehingga hujung April.

Dengan populasi lebih 260 juta, Indonesia mempunyai hanya 321,544 buah katil hospital, menjadikannya 12 katil buat 10,000 orang. Hal ini jauh ketinggalan berbanding Korea Selatan yang mempunyai 115 katil bagi setiap 10,000 rakyatnya, lapor CNA memetik WHO.

“Kita telah hilang kawalan, ia merebak di mana-mana,” kata Prof Ascobat Gani, pakar kesihatan awam tempatan.

“Mungkin kita akan menjadi seperti Wuhan atau Itali,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, Menteri Kesihatan Indonesia, Achmad Yurianto mendakwa Indonesia tidak akan menjadi seteruk itu.

“Kita tak akan menjadi seteruk itu,” katanya.

“Rakyat perlu jaga jarak mereka,” tambah beliau, menegaskan langkah penjarakan sosial yang betul dapat mengelakkan masalah penularan itu dan percaya staf kesihatan mencukupi untuk melawan virus tersebut.

Namun, ahli epidemiologi Universiti Indonesia, Budi Waryanto berkata hospital di sana tidak bersedia untuk menyokong kes berpotensi.

“Rawatan akan menjadi terhad,” kata beliau lagi.

Sumber: Channel News Asia

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.