Siakap Keli
Gambar: Mahi Ramakrishnan

“Kita Semua Adalah Satu,” Pelarian Balas Jasa, Sediakan Makanan Untuk Petugas Kesihatan

Susulan daripada penularan wabak pandemik Covid-19 di Malaysia, pelbagai pihak yang prihatin akan situasi yang dilalui oleh para petugas kesihatan barisan hadapan negara tampil untuk menghulurkan bantuan.

Turut tidak terkecuali adalah sekumpulan pelarian yang bergabung tenaga memasakkan makanan untuk disumbangkan ke para petugas kesihatan di hospital Ampang yang sedang berjuang memerangi wabak ini.

Sekumpulan pelarian yang rata-ratanya terdiri daripada warga Syria, Palestin, Yaman dan Iraq telah berbuat demikian sebagai tanda terima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang sanggup berdepan risiko nyawa mereka demi memastikan kesejahteraan orang awam.

Eman Mfleh, seorang pelarian dari Palestin menyatakan bahawa, dia melakukan perkara sedemikian untuk berterima kasih kepada masyarakat Malaysia yang mengalu-alukan mereka untuk menumpang di bumi Malaysia ini.

Gambar: Mahi Ramakrishnan

“Terima kasih atas peluang yang diberi untuk membalas kembali jasa masyarakat Malaysia yang mengalu-alukan kami dengan hati yang terbuka.

Gambar: Mahi Ramakrishnan

Kepada para doktor, jururawat dan semua kakitangan di hospital kini yang sedang mengerahkan segala kudrat mereka demi memastikan kita semua selamat. Ini sahaja yang dapat kami bantu,” ujar Eman.

Seorang lagi pelarian Syria, Abo Mohamad, yang terpaksa meninggalkan negaranya bersama isteri dan dua anaknya kerana peperangan menyatakan bahawa, kita perlulah berganding bahu dan buat apa yang kita mampu lakukan pada waktu krisis ini.

Gambar: Mahi Ramakrishnan

“Kami sentiasa bersama dengan anda. Kita mestilah bantu satu sama lain dan lakukan sedaya upaya kita pada musim krisis ini. Dan kami turut berbesar hati kerana diberikan peluang ini untuk berbakti kepada saudara Malaysia kami yang sedang berada di barisan hadapan.

Mereka berkorban demi memastikan kita semua selamat. Jadi, ini sajalah cara untuk kami menunjukkan penghargaan kami kepada mereka, negara Malaysia serta rakyat Malaysia atas jasa yang telah dicurahkan kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, Amel Ali, 36, yang berpecah peluh memasakkan hidangan kari ayam dan kari daging untuk dihulurkan kepada petugas di hospital Ampang turut melakukan perkara yang sama. Dia yang sudah menjadikan Malaysia sebagai rumahnya sejak tujuh tahun lalu amat memahami situasi yang sedang dihadapi oleh Malaysia.

Gambar: Mahi Ramakrishnan

“Kita semua adalah satu. Mari bantu satu sama lain untuk mengharungi waktu yang sukar ini,” ujarnya.

Amel merupakan salah seorang daripada 10 chef yang bergabung tenaga menyediakan makanan untuk dihulurkan kepada petugas kesihatan barisan hadapan di Hospital Ampang.

Inisiatif ini adalah kerjasama yang dijalankan di antara Al-Hasan Volunteer Network dan Beyond Borders Malaysia.

Sebagai orang awam, kita juga boleh membantu petugas barisan hadapan ini seperti mereka juga. Caranya ialah, kita hanya perlu ikut perintah kerajaan. Duduk sahaja di rumah jika tiada urusan penting.

Sumber: Mahi Ramakrishnan

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa