Siakap Keli
Kredit: Google

Apa Itu Ventilator Dan Mengapa Ia Penting Untuk Membantu Pesakit COVID-19 Bernafas

Ventilator merupakan alat bantuan pernafasan yang digunakan bagi membantu pesakit bernafas ketika paru-paru mereka tidak dapat berfungsi dengan baik.

Umum mengetahui virus COVID-19 menyebabkan kerosakan pada paru-paru, justeru, penggunaan ventilator memberi masa buat pesakit bagi melawan jangkitan tersebut untuk pulih.

Terdapat beberapa jenis ventilator, antaranya adalah ventilator mekanikal dan non-invasive ventilation.

Ventilator mekanikal memerlukan pesakit untuk diintubasi bagi memasukkan tiub yang menyalurkan oksigen melalui mulut ke dalam saluran pernafasan pesakit manakala non-invasive ventilation melibatkan peralatan seperti topeng oksigen.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 80 peratus pesakit COVID-19 boleh sembuh tanpa memerlukan rawatan hospital.

Walaubagaimanapun, satu daripada enam pesakit mengalami kesukaran bernafas dan gejala teruk.

Dalam kes kritikal, virus merosakkan paru-paru, menyebabkan sistem imun mengembangkan salur darah untuk membenarkan sel imun memasuki paru-paru.

Namun, reaksi ini turut membolehkan bendalir memasuki organ tersebut, menyukarkan pernafasan lantas merendahkan kadar oksigen dalam badan.

Bagi meningkatkan kadar oksigen, mesin ventilator digunakan untuk menekan udara beroksigen tinggi ke dalam paru-paru.

Mesin ini juga membantu melembapkan serta menghangatkan udara yang disalurkan agar serasi dengan suhu badan pesakit.

Bila diperlukan?

Menurut pakar bius dan Timbalan Pengarah Pusat Penyakit Kritikal Universiti Melbourne, Profesor David Story, kekurangan ventilator boleh merisikokan nyawa pesakit.

Doktor akan mencari tanda-tanda kegagalan pernafasan sebelum menggunakan ventilator ke atas pesakit.

Antaranya adalah peningkatan kadar pernafasan, kesukaran bernafas dan peningkatan kadar karbon dioksida di dalam darah.

Jika kadar normal pernafasan adalah 15 nafas per minit, kadar 28 nafas per minit menunjukkan ventilator mungkin diperlukan, katanya.

Keperluan mendadak

Dengan penularan pantas wabak COVID-19, kebanyakan negara memerlukan pertambahan mendadak ventilator untuk diletakkan di hospital-hospital mereka.

Di Amerika, pertambahan sebanyak 30,000 buah mesin ventilator dicadangkan oleh pentadbir New York, Andrew Cuomo bagi mengatasi masalah kekurangan alat tersebut di negeri paling teruk terjejas di Amerika Syarikat.

Jumlah jangkitan di Amerika dilaporkan meningkat mendadak serta dianggarkan boleh mengakibatkan hingga 200,000 kes kematian.

Perdana Menteri Malaysia sebelum ini telah memperuntukkan RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk menambah peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan perlindungan diri (PPE) di Malaysia.

Menurut Forbes, harga sebuah mesin ventilator boleh mencecah USD$20,000 iaitu bersamaan RM87,122.

Kini, syarikat-syarikat automotif seperti Mercedes dan Ford mula membantu menghasilkan mesin ventilator bagi mencukupkan permintaan di seluruh dunia.

Sumber: BBC, Forbes, The Guardian

Amira

Love yourself.