SEBANYAK 1,218 ekor burung dilindungi daripada pelbagai jenis yang diseludup dari Riau ke Jambi, Indonesia berjaya dirampas pihak berkuasa, baru-baru ini.
Ketua Polis Tanjung Jabung Barat Jambi AKBP, Guntur Saputro berkata, pada awal kejadian, anggota polis dari Balai Polis Tungkal Ulu menjalankan operasi di sebuah jalan di Pelabuhan Dagang.
“Tiba-tiba anggotanya curiga akan sebuah kereta dari arah Riau menuju ke Jambi yang membuat ‘u-turn‘ semasa hendak diperiksa (keretanya).
“Kemudian kereta itu dikejar hingga berjaya diberkas dan menjumpai burung-burung tersebut,” katanya kepada pemberita Detikcom pada Ahad.

Hasil tangkapan tersebut mendapati ada lapan jenis burung daripada spesies dilindungi yang bakal diseludupkan ke Jambi.
Burung-burung itu adalah burung Madu (500 ekor), Gelatik Sumatera (300), Ciblek (300), Cucak Mini (45), Cucak Hijau (34), Kepondang (31), Poksay Mandarin (6) dan Kacer (2).
Berdasarkan keterangan pihak polis, burung yang mahu diseludup ke Jambi itu adalah untuk dijual di pasaran sana.
Turut ditahan dalam tangkapan tersebut adalah seorang lelaki bernama Norman Widodo yang kini di bawah siasatan pihak polis.
Sumber: Detik News