Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

2 Lagi Mayat Dipercayai Mangsa Tragedi Feri Bali Dijumpai
BANYUWANGI (Indonesia), 9 Julai (Bernama) — Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) gabungan menemukan dua mayat yang dipercayai mangsa feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam di Pantai Pebuahan, Kabupaten Jembrana, Wilayah Bali pada pagi Rabu, lapor agensi berita ANTARA.
Timbalan Operasi Mencari dan Menyelamat serta Kesiapsiagaan di Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) Ribut Eko Suyanto menerima laporan daripada pasukan SAR gabungan di Pelabuhan Gilimanuk, Bali menyatakan mayat berkenaan pertama kali dijumpai oleh nelayan sebelum diserahkan kepada pasukan SAR.
“Mayat yang dipercayai mangsa feri karam itu ditemui kira-kira 7 pagi waktu tempatan, kira-kira 13 batu dari lokasi KMP Tunu Pratama Jaya karam,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Ketapang, Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur.
Beliau berkata mayat kedua yang turut ditemukan di lokasi sama segera dibawa keluar oleh pasukan SAR gabungan dari Pos Kawalan Operasi Pelabuhan Gilimanuk (Bali).
“Kedua-dua mayat itu kini telah dibawa ke Hospital Kabupaten Jembrana (Bali) untuk pengecaman oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI),” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam dilanjutkan selama tiga hari bermula Rabu (9 Julai) hingga Jumaat (11 Julai) atas pertimbangan kemanusiaan.
Pasukan SAR gabungan melanjutkan operasi kerana masih ramai mangsa yang belum dijumpai dan perlu dibawa keluar, selain mengutamakan keselamatan anggota yang terlibat.
Pos Kawalan Operasi SAR Bersama dan Potensi SAR di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, melaporkan seramai 30 mangsa berjaya diselamatkan. Daripada 10 mayat yang dijumpai, dua ditemukan pada hari ini dan sedang menjalani proses pengecaman. Seramai 25 mangsa masih dilaporkan hilang.
KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 kru dan 22 kenderaan karam pada Rabu, 2 Julai 2025.
Sumber: Bernama
BACA: Feri Bawa 65 Penumpang Karam Di Selat Bali, Empat Maut
BACA: Kedutaan Malaysia Pantau Insiden Feri Karam Libatkan Warganegara Di Bali