KUALA LUMPUR: Seramai 28 keluarga mangsa tragedi banjir yang melanda kawasan sempadan Nepal–Tibet pada 26 Ogos lalu, layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan ketika mengesahkan perkara itu berkata, PERKESO melakukan semakan terhadap 54 mangsa tragedi berkenaan dan daripada jumlah tersebut, 28 daripadanya memenuhi syarat kelayakan caruman untuk disalurkan faedah kepada waris yang layak.
Tegas beliau, PERKESO telah melakukan semakan dengan teliti bagi memastikan tiada waris yang berhak tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya.

“Justeru, pada hari ini saya akan menyerahkan faedah PERKESO kepada 28 keluarga mangsa. Waris keluarga akan menerima bayaran faedah berjumlah RM3,000 sebagai bantuan kewangan segera.
“Mereka juga layak mendapat faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan. Proses pembayaran akan dilaksanakan sebaik sahaja maklumat dan dokumen berkaitan dilengkapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO, Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Skuad PERKESO Prihatin dan semua anggota PERKESO yang bertindak pantas serta proaktif mengesan dan mendapatkan maklumat waris mangsa.
“Mereka bertindak pantas dan proaktif untuk mengesan dan mendapatkan maklumat waris. Usaha ini akan diteruskan untuk mengesan serta melengkapkan maklumat waris yang layak di seluruh Malaysia.
“Sehubungan itu, saya menyeru waris yang belum dihubungi supaya tampil ke pejabat PERKESO yang berhampiran. Inisiatif ini membuktikan bahawa sistem perlindungan sosial negara bersifat responsif dan proaktif, bukan sahaja dalam keadaan biasa, malah ketika rakyat ditimpa musibah,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman, PERKESO akan tetap membantu dengan menyalurkan maklumat mereka kepada 990 rakan strategik termasuk 130 agensi berkaitan melalui Program Social Synergy.
“Inilah sebabnya saya percaya perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar kemudahan, tetapi ia keadilan sosial yang merupakan hak asasi setiap pekerja, tanpa mengira sektor, jenis pekerjaan, status atau siapa majikannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramanan menyentuh isu pematuhan pendaftaran dan pembayaran caruman PERKESO bagi pekerja domestik, yang menurutnya berhak mendapat perlindungan keselamatan sosial seperti pekerja sektor lain.
Jelasnya, berdasarkan semakan PERKESO setakat 1 November 2026, sebanyak 10,033 majikan pekerja domestik dikenal pasti belum memenuhi kewajipan pendaftaran atau pembayaran caruman untuk pekerjanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat 598 individu berprofil tinggi yang terdiri daripada orang kenamaan seperti VVIP, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta dikesan belum melaksakanakan kewajipan mereka.
“Sebanyak 26,669 majikan lagi dikesan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan dan tindakan susulan daripada PERKESO.
“Saya ingin tegaskan bahawa kedudukan, pangkat, pengaruh atau status seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab ini. “No one is above the law”. Undang-undang terpakai kepada semua.
“Kita tidak boleh bercakap tentang kebajikan pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri masih diabaikan. Kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang,” tegas beliau.

Ramanan turut mengarahkan PERKESO memperkukuh usaha kesedaran, pemantauan dan penguatkuasaan termasuk tindakan terhadap majikan yang gagal mematuhi undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua majikan kepada pekerja domestik supaya menyemak status pendaftaran dan caruman pekerja masing-masing.
“Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan, ambillah langkah pembetulan dengan kadar segera,” katanya.

