Siakap Keli
Ibu mangsa menangis dan merayu kepada penduduk (kiri). Pemakaman jenazah pesakit COVID-19 di Indonesia (kanan). (Kredit: Makassar Terkini/CNN Indonesia)

Ibu Terpaksa Merayu, Dipercayai Anak Meninggal Selepas Rawat Pesakit COVID-19 Tak Dibenar Dikebumikan Oleh Jiran Setempat

Hancur hati seorang ibu apabila anak perempuannya yang meninggal dunia setelah berkhidmat sebagai ‘frontliner’ COVID-19 dilapor didiskriminasi sebahagian penduduk tempatan di Jawa Tengah. Menurut Makassar Terkini, sekumpulan warga tempatan dipercayai telah menolak agar jenazah dikebumikan berhampiran kejiranan mereka.

Mangsa yang merupakan seorang petugas kesihatan berusia 38 tahun itu disahkan meninggal dunia semalam, 9 April setelah merawat seorang pesakit COVID-19.

Akhbar tempatan tidak menyatakan punca kematian mangsa.

“Penduduk sudah menggali kubur, tetapi tiba-tiba ada bangkangan oleh sebahagian masyarakat. Padahal pihak kejiranan dan rukun tetangga tiada masalah,” kata wakil kumpulan pencegahan COVID-19 Semarang, Alexander Gunawan.

Susulan itu, tular video ibu kepada petugas berkenaan yang merayu penduduk supaya menerima anaknya dikuburkan di pemakaman tersebut.

Dalam video itu, kelihatan seorang wanita dipercayai ibunya menangis sambil menadah tangan merayu kepada penduduk setempat.

Pun begitu, penduduk terlibat terus menolak pengebumian dilakukan di sana, memaksa petugas membawa jenazah ke bilik jenazah Hospital Kariadi, Semarang.

Disebabkan itu, keluarga mangsa telah mengambil keputusan untuk mengebumikannya di tapak perkuburan keluarga pegawai hospital tersebut.

“Keluarga mengambil keputusan memindahkan pengebumian jenazah di perkuburan keluarga Hospital Kariadi Semarang kerana almarhumah bertugas di sana,” kata Alexander.

Dalam laporan yang berbeza, susulan tersebarnya video ibu berkenaan, seorang wakil penduduk kampung tampil membuat permohonan maaf di atas kejadian berkenaan.

Menurutnya, tindakan menghalang pengebumian yang dibuat sebelum ini adalah keputusan rata-rata penduduk di kawasan itu.

Sebelum ini, tular kisah sebuah keluarga yang dipulaukan penduduk tempatan apabila salah seorang anak mereka meninggal dunia akibat COVID-19.

Sumber: Makassar Terkini

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.