Siakap Keli
Gambar: The Sun

Lebih 100 Bekas Pesakit Covid-19 Di Korea Selatan Dilaporkan Positif Semula

Korea Selatan pada hari ini melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 116 orang yang disahkan bebas daripada virus Covid-19 sebelum ini didakwa telah diuji positif semula, lapor Daily Mail.

Korea Selatan pada Isnin baru sahaja melaporkan bahawa terdapat 25 kes positif baharu yang dikesan, namun kenaikan jumlah pesakit yang diuji positif semula telah menimbulkan kebimbangan terhadap usaha negara dalam membendung penularan wabak itu.

Menurut Daily Mail, pihak berkuasa masih lagi menyiasat punca berkenaan perkara tersebut. Namun Jeong Eun-kyeong, Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Korea (KCDC), mendakwa bahawa virus tersebut mungkin teraktif semula dalam badan pesakit yang pernah dijangkiti.

Pakar lain pula berpandangan bahawa kesilapan semasa ujian dijalankan mungkin salah satu penyebabnya, atau sisa-sisa virus mungkin masih berada dalam sistem badan pesakit namun tidak menular dan merbahayakan pesakit mahupun orang lain.

116 kes yang dilaporkan itu bertambah sebanyak dua kali ganda daripada 51 kes yang telah dilaporkan Korea Selatan seminggu yang lalu.

Berikutan dengan itu, kerajaan Korea Selatan menggesa seluruh rakyatnya untuk kekal mengamalkan garis panduan yang dikeluarkan serta melarang perhimpunan sosial.

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan menyiasat laporan yang mengatakan terdapat kes positif semula selepas diuji negatif. Ianya adalah susulan daripada laporan pegawai Korea Selatan yang mengatakan terdapat 91 bekas pesakit Covid-19 diuji positif semula.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa