Siakap Keli

FAM Anjur Kejohanan Bola Sepak Dalam Talian

KUALA LUMPUR, 16 April — Hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 selain peluang beraksi ke kejohanan sukan elektronik (Esports) antarabangsa menjadi tarikan pada edisi sulung Kejohanan Malaysia National eChallenge yang berlangsung selama sehari esok.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya memaklumkan, kejohanan sukan elektronik dalam talian FIFA20 itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Esports Kuala Lumpur (ESKL) dan GamesBond, selain disokong oleh Esports Malaysia (ESM).

FAM menjelaskan bahawa juara kejohanan berkenaan akan berganding bersama seorang pemain bola sepak kebangsaan bagi mewakili Malaysia ke Kejohanan Sukan Elektronik Antarabangsa, iaitu FIFA eNations Stay & Play Cup yang bakal diadakan pada 21 April ini.

Badan induk itu mendedahkan kejohanan berkenaan terpaksa dilangsungkan dari kediaman masing-masing memandangkan seluruh dunia sedang berdepan pandemik COVID-19, selain kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.

Mereka yang berminat boleh mengisi borang penyertaan dalam ]laman sesawang kejohanan;  https://bit.ly/2XF9AxI.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'