Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kadar Zakat Fitrah Lebih Rendah Di Wilayah Persekutuan Tahun Ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi mengumumkan bahawa kadar zakat fitrah yang lebih rendah di Wilayah Persekutuan bagi tahun 1441/2020M.

Menurutnya, ekoran situasi semasa penularan Covid-19,  Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan telah menetapkan dua kadar zakat fitrah pada tahun ini iaitu RM5.00 (Ringgit Malaysia Lima Sahaja) dan RM7.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Sahaja).

Ia bertujuan bagi meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan bagi menunaikan kewajipan tersebut. Penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat.

Hal ini juga adalah selari dengan Resolusi Muzakarah Khas Kali Ke-2 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April 2020 melalui siaran langsung telekonferens. Muzakarah telah mengambil ketetapan bahawa:

a. Kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri masing-masing dengan mengambil kira peraturan Perintah Kawalan Pergerakan semasa.

b. Kadar zakat fitrah mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. Walau bagaimanapun, jumlah bayaran yang perlu dibuat adalah bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga.

Umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing.

 

Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sofea

There's always another side to every story

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa