Siakap Keli

Amirul Azhan Manfaat Tempoh PKP Bantu Ibu Urus Kedai Makan

KUALA LUMPUR, 17 April — Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini jelas dimanfaatkan sepenuhnya pemain pertahanan kanan Perak, Amirul Azhan Aznan yang membantu perniagaan kedai makan yang diusahakan bersama ibunya di Ipoh.

Pemain berusia 26 tahun itu turut melakukan khidmat penghantaran makanan kepada pelanggan selain membuat pemasaran terhadap kedai makan ibunya yang diberi nama AN 23 Char Kuey Teow yang dibuka sejak lima tahun lepas itu.

Beliau mengakui amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa diberikan oleh penduduk setempat yang memberi sokongan padu terhadap perniagaan diusahakan oleh ibunya.

“Kedai ini dah lama dibuka iaitu sejak 2015 dan milik ibu tetapi saya menguruskan bersamanya, cuma kali ini pendekatan berbeza terpaksa diambil ekoran PKP. Sekarang saya sendiri kena melakukan proses mengambil pesanan daripada pelanggan serta melakukan penghantaran jika perlu dan tidak ketinggalan dalam soal pemasaran.

“Dalam tempoh PKP ini, kami memfokuskan kepada lapan menu utama sahaja berbanding 30 yang kami ada semasa restoran boleh dibuka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Selain char kuetiau, Amirul Azhan memaklumkan kedai berkenaan turut menyediakan pelbagai masakan ala carte yang lain seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cendawan, nasi goreng pataya banjir, nasi goreng chicken chop, nasi lemak pandan ayam dan mi kari.

Dalam pada itu, pemain itu mendedahkan, beliau merancang untuk membuka kedai makan apabila tidak lagi bergelar pemain bola sepak, sambil menambah, tempoh PKP yang dikuatkuasakan kerajaan ketika ini memberi hikmah tersendiri kepada dirinya.

“Selepas minggu pertama PKP, rasa terduduk sekejap dan seolah-olah tidak percaya dengan apa yang terjadi apabila liga kita terpaksa ditangguhkan. Sekarang saya makin sedar yang kena ada pelbagai perancangan jika perkara seperti ini terjadi lagi.

“Malah, karier dalam bola sepak pun tiada apa yang boleh dijadikan jaminan dan sebagai pemain, kena sentiasa bersiap sedia dengan apa-apa kemungkinan jika kita sudah tidak dimahukan jurulatih pada satu masa nanti,” katanya yang masih melakukan latihan seperti biasa di rumah bagi mengekalkan kecergasan.

MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka susulan penularan pandemik COVID-19, selain menghormati penguatkuasaan PKP oleh kerajaan.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd