Siakap Keli
Kredit: Google

265 Juta Orang Dijangka Di Ambang Kebuluran Pada Hujung 2020 Akibat COVID-19 -Kajian

WASHINGTON, 22 April (Bernama) — Dunia kini berada di ambang ‘pandemik kelaparan’ di tengah-tengah penularan wabak COVID-19, bakal menyaksikan tambahan seramai 130 juta orang lagi diancam kebuluran, kata Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia (WFP) David Beasley pada Selasa.

“Jutaan orang awam yang tinggal di negara dilanda konflik, termasuk wanita dan kanak-kanak, diancam kekurangan makanan dan keadaan itu diramal akan menjadi lebih buruk,” kata Beasley lapor agensi berita Anadolu.

Menurut pakar, 821 juta orang terpaksa tidur dalam kelaparan dan Laporan Global mengenai Krisis Makanan yang baru diterbitkan menunjukkan 135 juta lagi bakal menghadapi situasi sama atau mungkin lebih teruk.

“Bermakna 135 juta orang kini di ambang kebuluran. Tetapi sekarang analisis WFP menunjukkan disebabkan COVID-19 tambahan 130 juta lagi akan diancam kebuluran pada akhir 2020. Keseluruhan seramai 265 juta orang,” tambahnya.

Beliau turut memberi amaran 36 negara mungkin menghadapi krisis kebuluran akibat virus itu.

“Di banyak tempat, penderitaan manusia merupakan konflik yang sangat serius,” tambahnya.

Sejak virus COVID-19 muncul di China pada Disember lalu, ia sudah menular ke sekurang-kurangnya 185 negara dan wilayah.

Data dikumpulkan Johns Hopkins University menunjukkan lebih 2.5 juta orang sudah dijangkiti, dengan jumlah kematian hampir 172,000 manakala kira-kira 660,000 pesakit sembuh.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.