PUTRAJAYA, 22 April — Syarikat pembinaan yang diberi kelulusan untuk beroperasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu memastikan pekerja masing-masing bebas daripada COVID-19 atau berdepan dengan kos lebih tinggi bagi menanggung segala kos rawatan.
Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata salah satu syarat utama syarikat pembinaan untuk beroperasi adalah memastikan pekerja mereka negatif COVID-19 dan segala tanggungan pemeriksaan kesihatan pekerja ditampung oleh syarikat termasuk kos rawatan di hospital.
“Maknanya kalau ada seorang sahaja (positif COVID-19) projek itu akan diberhentikan dan saringan wajib kepada semua. Ini sudah pasti mereka akan tanggung kos yang lebih besar lagi.
“Jadi lebih baik patuhi segala SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan supaya projek dapat berjalan tanpa gangguan disebabkan ada yang positif,” katanya pada sidang media SOP Pembinaan Semasa PKP di sini hari ini.
Sumber: BERNAMA