Siakap Keli

Wanita Ecuador ‘Bangun’ Selepas Disahkan ‘Meninggal Dunia’, Keluarga Terlanjur Bakar Mayat Pesakit Lain

Seorang wanita di Guayaquil, Ecuador tiba-tiba ‘bangun’ setelah sebelumnya disahkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak Covid-19.

Khabar itu jelas melegakan ahli keluarganya yang telah salah membawa pulang jenazah untuk disempurnakan pengebumiannya.

Alba Maruri dilaporkan telah tiga minggu koma dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac lalu.

Seminggu kemudian, keluarganya telah ditunjukkan ‘mayat’ Maruri namun dalam posisi mengiring.

“Saya takut nak tengok mukanya,” kata anak saudara lelaki Maruri yang menyangka mayat yang ditunjukkan itu adalah ibu saudaranya.

“Mayat itu persis ibu saudara saya, rambut dan tona kulit mereka sama.”

Walau bagaimanapun, pada Khamis, Maruri akhirnya telah sedarkan diri dan meminta para doktor  untuk menghubungi adik perempuannya, Aura.

“Sehingga kini, mereka masih belum mengetahui abu siapa yang disimpan di dalam rumah mereka ketika ini,” menurut seorang lagi anak saudara Maruri, Juan Carlos Ramirez.

Aura ketika ditemui memberitahu media bahawa pihak hospital memaklumkan kakaknya kini dalam keadaan baik dan akan dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi.

“Ini adalah suatu keajaiban. Setelah hampir sebulan kami fikir dia telah meninggal dunia, tapi rupanya itu adalah abu mayat orang lain,” kata Aura.

Sumber: BBC

Nur Farra