Muslim Di Songkhla Solat Jumaat Pertama Hari Ini Sejak 27 Mac Lalu

SONGKHLA: Umat Islam di wilayah Songkhla di selatan Thailand hari ini menunaikan solat Jumaat pertama selepas larangan pada 27 Mac lalu dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Hampir 400 umat Islam di Pekan Chana, Songkhla menunaikan solat Jumaat di Masjid Nuruddin Chana yang berlangsung selama kira-kira 20 minit.

Khutbah disampaikan pentadbir sebuah sekolah swasta di Chana, Abdul Fattah Yahya.

Khatib Masjid Nuruddin Chana, Muhamad Husin, berkata semua jemaah yang menunaikan solat Jumaat hari ini diwajibkan memakai pelitup muka , menjalani saringan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki masjid dan bagi mereka yang suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan solat di masjid.

“Selain itu, umat Islam yang solat di masjid perlu mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing. Mereka perlu mengamalkan jarakan sosial 1.5 hingga 2 meter,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 Mei lepas, Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon mengumumkan bahawa umat Islam di Songkhla dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

Majlis Agama Islam di setiap wilayah dan iman di masjid serta surau perlu berbincang dan mendapatkan kebenaran dari gabenor untuk melakukan solat Jumaat.

Bagaimanapun, aktiviti solat tarawih secara berjemaah dan berbuka puasa di masjid dan surau dilarang.

Setakat ini, wilayah majoriti Islam yang lain di Selatan Thailand – Pattani, Yala dan Narathiwat masih dilarang menjalani solat Jumaat berikutan kes COVID-19 di wilayah berkenaan masih tinggi.

Ketiga-tiga wilayah ini diberi tempoh dua minggu untuk pemantauan.

Sehingga hari ini, Thailand mencatatkan 3,000 kes COVID-19 dengan 55 kematian. Di Yala, sebanyak 122 kes dilaporkan, Pattani (79), Songkhla (44), Narathiwat (25).

Thailand mengumumkan perintah darurat dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi menangani penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

Nur Farra

Editor: Nur Farra