Keadaan fizikal tidak menghalang Dale, seorang pemuda yang menghidap cerebral palsy untuk terus bekerja mencari rezeki.
Memanfaatkan media sosial miliknya, pemilik kedai online Scarpe Neozio My itu membuat live di Facebook untuk menjual kasut serta pakaian di platform tersebut.
“What’s up? Apa khabar semua? Nama saya Dale. Minta maaf jika pertuturan saya kurang jelas. Saya mempunyai penyakit cerebral palsy.
“Saksikan dan sokong saya menjual kasut dan barangan lain di Facebook live,” kata Dale dalam satu video pengenalan diri di laman perniagaan miliknya.
Tambahnya, individu yang tidak memahami percakapannya boleh terus menghubunginya menerusi chat untuk sebarang pertanyaan.
“Saya mohon maaf yang saya mempunyai masalah pertuturan, seandainya rakan-rakan sekalian tidak dapat memahami saya sila teks dengan saya dalam chat,” tulisnya pada kapsyen sebuah video live di laman itu.
Please like and Share……
Posted by Scarpe Negozio My on Sunday, 5 April 2020
Cerebral palsy (CP) atau palsi serebrum merupakan keadaan di mana otot dan saraf pesakit terjejas. Namun begitu, kebanyakan kanak-kanak yang menghidap CP ini mempunyai jangka hidup yang normal.
Sebahagian daripada mereka masih boleh menjalani hidup seperti biasa dan kecerdasan yang normal biarpun mempunyai kecacatan yang agak teruk.
Antara tanda dan gejala CP ialah pergerakan tidak normal pada lengan dan kaki serta otot yang lemah pada awal usia. Kanak-kanak yang menghidap palsi serebrum juga mempunyai perkembangan yang perlahan dari segi berjalan dan bercakap, kejang otot, postur tidak normal, badan kaku, penyelarasan lemah dan mata silang.
Sumber: Scarpe Neogzio My, Hello Doktor