Siakap Keli
Gambar: Johan Siow

Anak Masuk Wad & Ayah Berselimut Di Lantai Hospital, Doktor Kongsi Pengalaman Urus COVID-19 Sejak Awal Penularan Di Malaysia

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tahun 2019 pasti akan menjadi tahun bersejarah yang menjadi titik permulaan penularan wabak novel koronavirus, COVID-19.

Peristiwa ini pasti akan menjadi sejarah hitam dalam hidup kita dan seluruh penduduk dunia. Ia memberi kesan secara langsung hampir kepada setiap orang, daripada rakyat biasa, menteri, hinggalah petugas barisan hadapan yang bertarung secara terus dengan virus pembunuh itu.

Masing-masing mempunyai peranan dan kisah sendiri dalam membendung malapetaka ini. Sama juga dengan seorang doktor pakar, Johan Siow yang berkongsi pengalamannya mengendalikan kes COVID-19 sejak awal penularan wabak ini berlaku.

Perkongsian beliau yang dipenuhi 1001 kisah itu telah menyentuh hati ribuan warga maya dengan lebih 5.1 ribu reaksi di Facebook.

Berikut adalah perkongsiannya.

Aku melangkah ke hadapan, menghadap kabinet.

Saat itu, ratusan lelaki dan wanita di seluruh negaraku (ribuan di seluruh dunia) melakukan perkara sama. Nerda di dalam diri hidup kembali. Aku mula bersenandung lagu tema Iron Man.

N95. Penutup pelindung. OT cap. Sarung tangan dalam. Penutup kasut. Penutup but. Gaun bedah. Gaun isolasi. Sarung tangan luar. Apron putih.

Akhirnya, pelindung muka.

Apa yang membawaku sejauh ini?

Januari. Hari kedua Tahun Baru Cina. Melaka.

Aku kurang sihat kerana flu, habiskan CNY di atas katil dan mengeluh nasib. Kawan-kawan bergurau katakan aku mungkin dijangkiti virus Wuhan. Haha, lawak sangat…

Kemudian aku terima panggilan. Singapura kesan kes pertama. Johor siap sedia sempadan. Bilik Gerakan diarahkan bersedia menghadapi malapetaka. Boleh singkatkan cuti dan pulang ke Segamat segera?

Aku siapkan beg, berpisah dengan keluarga, dan di bawah gemerlapan bintang di langit subuh, aku segera melapor diri. Untuk menghadapi peristiwa bersejarah sekali seumur hidup.

Kredit: Johan Siow

Mac. Hospital Permai.

Kami baru berjaya uruskan kemasukan beramai-ramai pesakit kluster syarikat pembinaan yang besar. Ia berlaku ketika on call pertama saya, bila mana kami perlu tukarkan wad tambahan di tengah malam untuk menampung kemasukan yang besar secara tiba-tiba.

Keesokan paginya, aku merangkak ke asrama, ‘pengsan’ di atas katil tanpa mandi.

Dua hari kemudian, aku jaga panggilan on call. Ia berdering tanpa henti. Sesekali bila terima referral, kedengaran dua panggilan lain masuk.

“Bos, saya ada pesakit di sini, tak sihat selepas hadiri satu perhimpunan di Sri Petaling di Kuala Lumpur. Saya rasa ada dalam seratus hadirin di sana. Sebahagian mereka adalah rakyat Brunei yang positif n-Cov sekembalinya ke sana.”

Aku kehabisan tenaga, bosan dan skeptikal. Aku periksa laman web Kementerian Kesihatan (KKM) dan sumber online yang lain. Tiada apa-apa tentang Sri Petaling atau Brunei.

“Boleh awak sahihkan sumber? Macam mana awak yakin rakyat Brunei tu positif?”

“Bos boleh periksa, ia ada di Facebook. Saya Whatsapp link.”

Ia adalah permulaan hari yang amat panjang. Dan permulaan perjuangan sedunia.

3 pagi. Katil hospital dipenuhi pesakit dari kluster baru Sri Petaling. Aku bersiap dan masuk untuk memeriksa kemasukan baru. Dalam persekitaran panas dan lembap, peluh mula membanjiri topeng muka, sarung tangan, but dan sudah tentu, pakaian dalam.

Aku hampir tidak dapat uruskan semua tiga pesakit dengan cermin mata dan pelindung muka yang berkabus. Dalam keadaan ‘buta’, aku memasukkan branula dan mengambil darah dengan sentuhan jari.

Salah seorang pesakit Sri Petaling merupakan seorang pemuda yang ramah yang cuba menceriakan suasana dengan senda gurau. Aku ketawa ketika mengambil vital, darah dan swab, masukkan bendalir IV, galakkan dia untuk minum banyak air. Kemudiannya aku beralih kepada dua lagi pesakit yang lebih tua.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

10 minit kemudian, aku perasan tiba-tiba suasana ceria pudar.

Pesakitku yang muda tadi sudah mula muntah-muntah disertai peluh mencurah-curah. Dia tetap yakinkan aku yang dia okay. Tapi senyumannya penuh kerutan. Sebaik saja aku berikan dia beg kuning biohazard untuk muntah, dia terbersin kuat.

Aku dapat rasakan pelindung muka ini berdetar. Bila aku buka mata, ada titisan cecair bertompok di atas sekeping filem plastik, hanya beberapa sentimeter dari mata.

Seseorang pernah beritahu, virus baru ini seakan denggi, keadaan pesakit jatuh teruk secara tiba-tiba tanpa amaran. Meminjam telefon pesakit lain (kami tiada jam di dalam), aku mula mengira kadar pernafasannya menggunakan jam randik. 44 nafas per minit.

Aku meminta pertolongan. Bos datang dengan cepat dan mengintubasi pesakit itu. Ia pagi pemandangan yang luar biasa apabila pagi tiba. Bos-bos datang dengan sut Tyvek dan respirator, pesakit dalam isopod menanti ambulans untuk dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU). Ia seakan filem ngeri Hollywood. Siapa sangka pemandangan itu menjadi norma baru hari mendatang.

Seminggu kemudian, pesakitku yang muda dan periang dan positif virus itu kembali ke pangkuan Ilahi, meninggalkan isteri dan bayi kecilnya. Rakyat Malaysia kedua yang terkorban akibat koronavirus.

Isopod koronavirus
Isopod untuk menempatkan pesakit koronavirus. (Kredit: Queensland Health)

Kita berperang dengan musuh yang tak dapat kita lihat.

Ia baru sahaja empat bulan, tapi kelmarin seakan-akan bertahun-tahun lepas.

Kami bawa pengetahuan yang kami pelajari di Permai (dan kemudiannya Kluang) kembali ke Segamat. Seperti hospital lain di Malaysia, kami juga pernah berhadapan dengan pesakit positif yang melanggar ‘tembok’ kami dan membuat kacau di dalam. 66 staf hospital terpaksa dikuarantin sementara, dan dalam tempoh seminggu, bebanan kerja jatuh ke atas bahu para doktor dan jururawat yang berbaki.

Ramai antara kami pulang dalam keadaan lesu, merindukan saaat gembira bersama rakan dan keluarga, membayangkan percutian yang kini tidak pasti. Salah satu kegembiraan terbesar dalam hidupku adalah setiap hujung minggu ketika pulang ke Kuala Lumpur untuk bermain muzik dengan band milikku.

Virus telah merompaknya dariku.

Kembali seketika ke Permai.

Aku sedang mengambil darah seorang lagi pesakit Sri Petaling. Sebaik sahaja aku menarik jarum, aku perasan takungan air di atas lengannya, membasahi cadar. Aku lihat di siling, “Eh, bocor ke?”

“Bukan, doktor.” Pesakitku senyum lemah. “You punya peluh.”

Malu, aku meminta maaf, tetapi pesakitku memegang lenganku. Di bawah tiga lapisan perlindungan, aku dapat rasakan kehangatannya. Tak, dia tidak demam.

“Terima kasih doktor kerana jaga kami. You kena minum banyak air juga ya.”

Aku melawan air mata daripada tumpah.

Ada juga kisah seorang kanak-kanak perempuan India yang dimasukkan ke hospital pada lewat malam. Bos lihat ayahnya tidur di atas lantai ketika rondaan pada pagi berikutnya. Memikirkan kami kekurangan katil, ayahnya tidak mahu menyusahkan kami. Dia memberi satu-satunya katil di dalam bilik itu kepada anaknya, membaluti tubuhnya dengan selimut dan bermalam di atas lantai yang sejuk dan keras.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Macam mana saya boleh berhenti berjuang untuk rakyat Malaysia?

Jadi, apa yang membawaku sejauh ini?

Aku mengaku, apabila aku memakai sut perlindungan, aku bayangkan ia sehebat di dalam filem. Malangnya, pelindung mukaku bukan dibuat dengan teknologi tinggi anti-kabus. Ia tidak bercahaya dengan HUD sebaik sahaja dipakai.

Tidak, ia hanya sekeping filem A4 yang dilekat pada tilam getah berbusa dan getah elastik. Semua yang melindungi aku dari batuk atau bersin yang sarat dengan virus adalah penutup buku projek darjah satu aku, “Keluarga Saya.”

Tetapi di sebalik pelindung muka DIY itu ialah individu yang aku tidak pernah tahu namanya yang berjaga tengah malam menghasilkan ratusan pelindung tanpa meminta balasan.

Di sebalik gaun isolasi, but dan penutup kepala ini adalah para doktor dan juruawat yang berlatarbelakangkan jabatan pembedahan, yang bersatu membantu rakan sekerja, menukar skil pembedahan kepada jahitan.

Di belakang setiap front-liner yang kepenatan ialah rakyat Malaysia yang memasak makanan mereka (seringkali memberi secara percuma) dan lelaki penghantar makanan yang merisikokan nyawa meredah bahaya di atas jalan untuk membawanya kepada kami.

Kami di barisan hadapan tidak akan muncul tanpa kalian yang menyokong kami di belakang. Kami tahu anda juga penat, terperangkap di rumah dan cuba meneruskan hidup dengan simpanan yang berbaki. Namun, kalian tetap menghulurkan bantuan dan menyokong kami untuk terus berdiri. Terima kasih kerana memberi inspirasi kepada kami untuk turut memberi yang terbaik.

Kredit: Johan Siow

“Not all heroes wear capes.”

Ya, hero tidak bermantel (cape) wujud disebabkan hero yang tidak didendang di belakang tabir.

Udara di sini panas dan lembap, membahagikan antara dua dunia. Aku telah datang sejauh ini, dan aku berjanji, aku akan terus melangkah. Mengambil nafas sedalamnya, aku melangkah sempadan merah di lantai ini.

Johan Siow. Pakar perubatan dalaman, Hospital Segamat. Proud Malaysian.

Sumber: Johan Siow

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.