Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Ekspres Sarawak, Bas Antara Kawasan Boleh Mula Operasi 2 Jun

KUCHING, 19 Mei — Perkhidmatan bas Ekspres dan bas antara kawasan di Sarawak  hanya akan dibenarkan beroperasi bermula 2 Jun, dengan operatornya perlu membuat persediaan bermula dari sekarang bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin hari ini berkata, SOP tersebut termasuk mensanitasikan bas mereka, melakukan ujian swab kepada pemandu, mengatur semula tempat duduk bagi memenuhi jarakan sosial, dan penyediaan peralatan lain seperti pengimbas suhu, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

“Langkah-langkah ini diambil bagi melindungi orang ramai, terutamanya pemandu dan penumpang bas dalam usaha untuk mengelakkan penularan COVID-19 di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan dan menyatakan keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, semalam.

Pada masa ini beliau berkata, kelulusan pihak polis adalah diperlukan sebelum perjalanan antara daerah boleh dilakukan, dan langkah ini diambil bagi meminimakan kontak fizikal antara orang ramai daripada daerah berlainan, dalam usaha mengekang penularan virus itu.

“Berkaitan perkara itu, kerajaan negeri juga telah membuat arahan untuk meminimakan jumlah orang berkumpul pada festival yang akan datang iaitu Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Gawai Dayak,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Adib Mohd