Siakap Keli

Persediaan Sambut Aidilfitri Sedikit Suram, Rakyat Kekal Patuh Elak Penularan COVID-19

SHAH ALAM, 19 Mei  — Sebut sahaja sambutan Aidilfitri, ia pastinya menggambarkan suasana yang meriah dengan pelbagai hidangan yang lazat sebagai meraikan kemenangan umat Islam yang menjalani ibadah puasa selama sebulan.

Aktiviti kunjung mengunjungi rumah ibu bapa, rakan taulan serta sanak saudara merupakan aktiviti paling rutin dilakukan sempena sambutan, namun perkara paling utama sebelum itu adalah melakukan persiapan raya.

Bagaimanapun, persiapan orang ramai untuk Aidilfitri yang dijangka disambut pada hujung minggu ini pastinya berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana kesan daripada penularan wabak COVID-19 di seluruh negara dan dunia ketika ini mewujudkan suatu normal baharu dalam kehidupan seharian.

Jika sebelum ini suasana membeli-belah di saat akhir bagi menyambut hari lebaran di merata tempat amat meriah ditambah dendangan pelbagai lagu raya, namun tinjauan Bernama di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Shah Alam kelihatan sedikit suram malah pengunjung juga tidak ramai.

Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini misalnya, yang dikenali sebagai lokasi ‘penting’ bagi penduduk sekitar mencari kelengkapan Aidilfitri dilihat agak ‘kurang meriah’, mungkin disebabkan pengunjung tidak lagi kelihatan berpusu-pusu bagi mencari persiapan saat akhir menjelang perayaan itu.

Rata-rata pengunjung yang hadir ke kompleks berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk beratur menunggu giliran sebelum masuk ke mana-mana premis serta memakai penutup hidung dan mulut selain merekodkan kehadiran mereka di setiap kedai.

Perkara ini mungkin menyebabkan suasana membuat persiapan Aidilfitri tidak semeriah dahulu kerana kehadiran pengunjung adalah terhad malah tiada kelibat kanak-kanak menceriakan suasana.

Seorang pekerja kedai menjual pakaian di Kompleks PKNS, Zuraiza Abdul Rahim, 20, berkata pengunjung yang hadir premis itu memberikan kerjasama yang baik apabila had kemasukan pengunjung dikawal pada satu-satu masa.

“Setakat ini tiada lagi pelanggan yang merungut, mereka semua patuh dengan SOP yang ditetapkan,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Mohammad Shahir Mohammad Ramli, 30, pula, beliau memberitahu Bernama, Aidilfitri kali ini sedikit berbeza yang mana persiapan dilakukan secara sederhana kerana tidak dapat merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan.

“Untuk membeli pakaian raya, saya hanya pergi seorang diri kerana kerajaan tidak mengalakkan membawa anak kecil kerana risiko jangkitan COVID-19. Inilah antara kelainan membuat persiapan raya tahun ini kerana saya hanya bawa baju contoh anak untuk diukur di kedai,” katanya ketika ditemui di sebuah kompleks membeli-belah di sini.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.