Siakap Keli

53 Notis Dikeluarkan Kepada Peruncit, Pemborong Ayam di Kelantan

KOTA BHARU, 21 Mei  — Sebanyak 53 notis dikeluarkan kepada peladang, pemborong dan peruncit ayam di Kelantan bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenaikan harga jualan ayam yang berlaku sejak Ahad lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Adnan Abd Rahman berkata 143 premis telah diperiksa semasa pemeriksaan pencatutan berkaitan isu harga ayam dijalankan sejak 15 Mei.

“Sebanyak 45 Notis Pengesahan Maklumat dan lapan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga ayam bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenaikan harga jualan ayam di Kelantan sejak Ahad lalu.

“Sekiranya peniaga sengaja atau gagal menunjukkan bukti munasabah kenaikan harga adalah disebabkan peningkatan dalam kos, tindakan tegas diambil terhadap peniaga tersebut,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan di sebuah pasaraya di Lembah Sireh di sini, hari ini.

Menurut Adnan, semasa awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), permintaan terhadap ayam rendah berbanding selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB), permintaan meningkat sehingga ada menjual melebihi RM8.00 sekilogram.

Katanya, KPDNHEP terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan meskipun dalam tempoh PKPB dan beliau memberi amaran tindakan tegas dikenakan ke atas peniaga yang mengambil kesempatan.

Beliau berkata pengguna di Kelantan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kekurangan bekalan atau kenaikan harga secara tidak munasabah sepanjang tempoh PKPB menerusi talian 1-800-886-800 atau e-mel kepada [email protected]

Sumber: BERNAMA

Aina

Betulkan Yang Biasa , Biasakan Yang Betul