Siakap Keli
Gambar: Bernama

Jumlah Pekerja Asing Perlu Dikurangkan 30 Hingga 40 Peratus Secara Berperingkat

Jumlah pekerja asing perlu dikurangkan sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus bagi menurunkan kadar pengangguran di negara ini yang dijangka meningkat kepada 4.0 peratus pada 2020 ekoran kesan penularan wabak COVID-19.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata pengurangan ini boleh dilakukan secara berperingkat bagi memberi peluang rakyat Malaysia mengisi sektor pekerjaan.

“Ini khususnya bagi pekerjaan ringan seperti juruwang, pembantu kedai dan pengawal keselamatan. Kalau (pekerjaan) melibatkan (3D) kotor, berbahaya dan sukar, ia memerlukan sedikit masa untuk latihan dan sebagainya,” katanya dalam program Ruang Bicara bagi mengupas tajuk Peluang Pekerjaan: Cabaran Industri Komoditi dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, yang disiarkan menerusi Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata kadar pengangguran tahun ini dijangka lebih lemah berbanding angka 1998 dan 2009 iaitu masing-masing pada 3.2 peratus dan 3.7 peratus.

Dalam pada itu, data terbaharu menunjukkan kemungkinan kehilangan pekerjaan agak tinggi iaitu dua juta hingga tiga juta manakala lepasan pusat pengajian tinggi dan universiti bagi tahun ini sahaja adalah hampir 400,000 hingga 500,000 orang, katanya.

“Ia angka yang besar dan ini bukan terjadi di Malaysia sahaja, negara lain turut berhadapan masalah yang sama terutama di Amerika Syarikat (AS) dengan masalah pengangguran melebihi 20 peratus,” katanya.

Anuar Shah berkata justeru, fokus perlu diberi kepada kaedah untuk negara mengisi ruang pekerjaan dengan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang tiada berpendapatan.

“Angka rasmi menunjukkan terdapat 1.9 juta hingga 2.2 juta pekerja asing di Malaysia, namun kita tahu pendatang asing tanpa izin dan golongan pelarian juga begitu ramai.

“Kalau kita campur semua ini, dan kali dua atau tiga, kita ada sekitar lima juta pekerja asing di negara ini,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan skim khas lepasan pusat pengajian tinggi untuk membolehkan lebih ramai menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) untuk mereka mempunyai peluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik apabila pandemik COVID-19 berakhir.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right