Siakap Keli
Gambar: Google

Pelaksanaan Kursus Pra Perkahwinan Dalam Tempoh PKPB Diteliti – Ketua Pengarah JAKIM

Kursus Pra Perkahwinan yang dilaksanakan bertujuan untuk memberikan maklumat dan pendedahan awal kepada bakal-bakal suami isteri yang akan mendirikan rumahtangga agar dapat mengurangkan permasalahan rumahtangga dan perceraian.

Namun, bagaimanakah ianya ingin dilaksanakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)?

Bagi menjelaskan mengenai perkara ini, terdapat 8 perkara perlu dititikberatkan yang dikongsi oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Paimuzi bin Yahya di laman media sosial Facebook.

Berikut penjelasan oleh beliau:

1. Umum telah mengetahui bahawa Kerajaan masa kini masih lagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan Virus Corona atau COVID-19.

2. Tidak dapat dinafikan penguatkuasaan PKPB telah memberi impak kepada pelbagai sektor kehidupan di negara ini termasuklah pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam yang telah berjalan sekian lama di seluruh negara dan merupakan suatu keperluan kepada pasangan yang bakal berkahwin. Malahan perkahwinan merupakan salah satu daripada Maqasid Syariah dalam rangka menjaga nasab dan keturunan.

3. Justeru, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) telah mengambil inisiatif bagi membantu pasangan yang hendak berkahwin dalam tempoh PKPB dan Pasca PKPB.

4. JAKIM dan JAIN kini dalam proses memuktamadkan penyediaan Tatacara Pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam Dalam Tempoh PKPB dan Pasca PKPB serta Mekanisma Pengajaran Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam.

5. Tatacara ini sebagai panduan kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi melaksana Kursus Praperkahwinan Islam bermula daripada kaedah pendaftaran, syarat-syarat penganjuran, etika penceramah, urusetia dan peserta, pengambilan Sijil Kursus Praperkahwinan Islam serta lain-lain perkara yang berkaitan.

6. Dalam membuat keputusan mengenai perkara ini, beberapa pertimbangan telah dibuat berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19, iaitu pengurangan interaksi sosial antara peserta dan penceramah, menghadkan pergerakan peserta dan penceramah bagi yang terlibat dalam pelaksanaan kursus secara bersemuka, menghadkan penggunaan data internet bagi yang terlibat dalam pelaksanaan kursus secara dalam talian, penjarakan sosial dan lain-lain aspek keselamatan dan kepentingan kesihatan lain.

7. JAKIM dan JAIN juga akan merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan pandangan dalam aspek keselamatan dalam penganjurannya kelak.

8. Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam ini bolehlah dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

Sumber: Ketua Pengarah JAKIM

Adib Mohd